Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, menyifatkan peletakan jawatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak memberi kesan kepada skuad Harimau Malaya.

Malah, pemain-pemain dikatakan semakin bersemangat untuk meneruskan segala perancangan yang telah diusahakan oleh Tunku Ismail sebelum ini.

Buktinya dapat dilihat ketika aksi berdepan Lubnan dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 apabila sekadar tewas tipis 2-1, Selasa lalu, walaupun sebelum itu berdepan kritikan kerana diikat Mongolia 2-2 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 22 Mac lalu.

Yusoff juga menambah aksi seterusnya malam esok berdepan Bhutan -- pasukan di tangga ke-188 dunia, iaitu 10 anak tangga di bawah Malaysia dan hanya setakuk di atas Mongolia -- malam esok akan menjadi medan untuk skuad negara meneruskan peningkatan prestasi.

"Sebenarnya, saya dapat saksikan moral pasukan ketika ini berada pada tahap terbaik, terutama sekali selepas aksi berdepan Lubnan. Banyak pihak menjangkakan Lubnan akan meraih kemenangan mudah dan Harimau Malaya dibelasah teruk tetapi peningkatan ketara ditunjukkan pemain-pemain negara.

"Saya menjangkakan kita akan disajikan dengan permainan yang lebih segar dan menarik apabila melayan kunjungan Bhutan bagi satu lagi aksi persahabatan di Bukit Jalil pada malam esok," katanya.