Sabah tidak mempunyai jalan lain kecuali mengutip tiga mata penuh apabila turun menentang PKNP FC dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Perak, malam ini.

Sekiranya berjaya, skuad kendalian Steve Vilmiaire itu mungkin mampu naik satu anak tangga daripada kedudukan kedua tercorot liga yang juga 'zon bahaya' bagi mana-mana pasukan.

Sebaliknya, sekiranya seri atau kalah, ia pasti menyukarkan lagi usaha pasukan itu bagi mengejar pasukan di atasnya, malah akan terus terperosok di zon penyingkiran.

Selain itu, hanya kemenangan juga yang mampu mengembalikan keyakinan pasukan itu untuk terus bersaing dalam liga musim ini dan yang paling penting juga, mampu menyejukkan sedikit hati penyokong yang marah dengan prestasi Sang Badak, ketika ini.

"Saya mahu melihat satu semangat berpasukan yang tinggi dalam perlawanan esok (malam ini) selain berharap mereka akan berjuang habis-habisan bagi mengubah nasib pasukan ini.

"Sekiranya mempunyai semangat sedemikian, kami mampu melakukannya (menang) walaupun mungkin dengan sedikit nasib.

"Dalam dua perlawanan terakhir, kami semakin hampir untuk mencatat kemenangan kedua dan saya harap pemain akan meneruskan semangat mereka untuk mencari kemenangan," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu.

Sementara itu, Vilmiaire berkata beliau tidak dapat menurunkan pemain pertahanan, Rawilson Batuil, yang menjalani penggantungan manakala dua lagi pemain, iaitu Azzizan Nordin serta Radzi Mohd Hussin, akan turut diketepikan berikutan belum pulih daripada kecederaan.

"Bagaimanapun, kita masih memiliki pemain lain yang boleh menggantikan tempat mereka, dan saya juga berharap, empat pemain import kita iaitu Igor Cerina, Jonathan Behe, Sofiane Choubani dan Masaya Jitozono akan membantu kita memburu kemenangan pada perlawanan itu nanti," katanya.

Pemain lain yang turut diterbangkan untuk perlawanan itu ialah Rozaimie Rohim, Sakri Masri, Alto Linus, Dendy Lowa, Saliun Mastar, Randy Baruh @ Samson, Rocco Nigel Milus, Leopold Alfonso Otong, Ummareng Bacok, Maxsius Musa, Rahman Marajeh, Sabri Sahar dan Jenius Karib.

Pemain muda dari skuad Piala Presiden, Hamran Peter, yang beraksi bersama pasukan itu bertemu PKNS FC, semalam, juga akan menyertai skuad senior malam ini.

Sabah kini menduduki tangga ke-11 liga dengan tiga mata hasil satu kemenangan dan lima kekalahan.