Frank Lampard membuka mulut tentang nasibnya di Chelsea apabila berkata dengan hanya memenangi gelaran berturut-turut sahaja yang akan menghalangnya daripada dipecat.

The Blues berpisah dengan legenda kelab itu pada Januari lalu, 18 bulan selepas dilantik sebagai pengurus yang menyaksikan perubahan berkenaan membawa kepada kejayaan Liga Juara-Juara (UCL) Chelsea ketika di bawah kendalian Thomas Tuchel pula.

Sepanjang bertindak sebagai pengurus di Stamford Bridge, Lampard membantu mereka menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di keempat dan mara ke final Piala FA di sebalik larangan perpindahan yang menyaksikan beberapa pemain muda diserap ke dalam pasukan utama.

Begitupun, pengurus berusia 43 tahun itu terpaksa membayar harga yang mahal berikutan prestasi buruk di pertengahan musim lalu apabila dipecat selepas menempa kekalahan kesembilan selepas 19 perlawanan.

Bercakap di saluran YouTube The Overlap Gary Neville, Lampard berkata: "Apabila saya bertemu Bruce Buck dan Marina Granovskaia ia berlangsung dengan sangat mesra. Saya tahu apa yang akan berlaku.

"Itulah keadaannya. Mereka akan tetap meneruskan hasrat dan tiada apa lagi yang boleh anda lakukan. Saya tidak pernah berada dalam situasi berkenaan sebelum ini jadi ia agak nyata pada ketika itu. Apabila anda menggalas jawatan tersebut, anda akan dapat menghidu situasi sedemikian.

"Di Chelsea jawatan anda tidak akan kekal melainkan anda memenangi gelaran berturut-turut dan ia tidak akan berlaku."



Lampard yang dikaitkan dengan kekosongan di Newcastle United, Norwich City dan Aston Villa dalam beberapa minggu kebelakangan ini masih belum menerima sebarang cabaran baru menjelang ulang tahun setahun pemecatannya di Chelsea.

Justeru, bekas tonggak England itu sudah bersedia untuk kembali ke ke bangku simpanan tetapi sedang menunggu tawaran yang sesuai.

"Saya seronok berada di tepi padang kerana ia memberikan saya perspektif berbeza tetapi saya teruja dan bersedia untuk bekerja.

"Anda merinduinya dan saya sedang menunggu tawaran. Ia membuatkan saya kedengaran terdesak tetapi sudah ada beberapa tawaran yang diterima sejak saya meninggalkan Chelsea termasuk musim panas lalu, tetapi saya mahu pastikan ia tawaran yang tepat.

"Saya kini mungkin berada di kedudukan yang bagus di mana saya tidak perlu terlalu tergesa-gesa untuk kembali bekerja."