Hanya Guardiola mampu bersabar dengan Phil Foden

Shaiful Shamsudin
Mei 6, 2021 18:14 MYT
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, sedang menuai hasil daripada pendekatan bersabar terhadap pemain sensasi, Phil Foden, menurut Stuart Pearce.
Foden terpaksa menunggu lama sebelum diberi peluang untuk membintangi City selepas muncul sebahagian daripada anggota skuad England yang memenangi Piala Dunia B-17, empat tahun lalu.
Namun, dia perlu menanti gilirannya untuk diberikan kesempatan beraksi di bawah kendalian Guardiola yang menyaksikannya hanya membuat 12 kemunculan dalam kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum musim ini.
Kekangan mendapatkan minit permainan mencetuskan spekulasi perpindahannya secara pinjaman bagi mendapatkan rentak, pemain tengah berbakat itu sebaliknya kekal di Stadium Etihad bagi meneruskan perkembangannya.
Foden kini mula memainkan watak utama dengan lebih kerap.

See you in the #UCL final, @ChelseaFC! ? ? #ManCity | https://t.co/axa0klD5re pic.twitter.com/BjCstqXSsR

— Manchester City (@ManCity) May 5, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pemain berusia 20 tahun itu telah menjaringkan 14 gol dan menghasilkan 10 bantuan gol untuk membantu City menikmati kejayaan di dalam dan luar negara -- menghampiri gelaran liga, kejayaan Piala Liga Inggeris (EFL) dan kemaraan ke final Liga Juara-Juara (UCL) 29 Mei ini.
"Pep (Guardiola) adalah satu-satunya pengurus yang mampu bersabar (dengan Foden)," kata bekas pengendali itu kepada Stats Perform News.
"Ketika pihak media cuba menghangatkan spekulasi perpindahan pinjamannya lalu membuat kenyataan mengenai apa yang terbaik buat Phil Foden, satu-satunya sosok yang amat penting dalam keseluruhan senario ini adalah pengurus dan Phil Foden sendiri.
"Phil perlu bersabar tetapi kita kini melihat ganjarannya dan dia benar-benar seorang pemain sensasi.
"Dia adalah pemain utama Manchester City, dia mendapat kepercayaan pengurus dan dia harus berusaha ke arah itu. Saya rasa bukanlah sesuatu yang buruk untuk bersikap jujur terhadap anda, pengurusnya itu telah mengendalikan Phil Foden dengan cemerlang."
#Manchester City #Pep Guardiola #EPL #UCL #Phil Foden