Handanovic tidak rela bersandarkan kenangan

Shaiful Shamsudin
April 1, 2020 04:18 MYT
Samir Handanovic terdesak untuk memenangi trofi bersama Inter kerana "dia tidak boleh hidup bersandarkan kenangan".
Ketua pasukan itu menyertai Inter daripada Udinese pada 2012 tetapi belum pernah menjulang mana-mana gelaran sepanjang kariernya di San Siro.
Nerazzurri kelihatan seperti pesaing awal dalam pemburuan gelaran Serie A musim ini tetapi kekalahan kepada Juventus dan Lazio sebelum wabak koronavirus baru (Covid-19) melanda membuatkan mereka tercicir sembilan mata dalam pemburuan Scudetto.
Diminta untuk mengenangkan kembali kemenangan 2-1 ke atas Empoli dalam hari terakhir 2018-19 untuk memastikan kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) dengan mengatasi seteru setempat, Milan, ketika wawancara video di saluran media sosial kelab itu, Handanovic berkata: "Ia adalah satu malam yang hebat. Ia berjalan lancar dalam detik sukar, semuanya berlaku dalam satu malam.
"Ia adalah satu malam yang menarik dan hebat, kami sangat gembira untuk kembali ke kancah itu, sudah tentu saya ada memikirkannya tetapi saya tidak boleh hidup dalam kenangan."
Dia menambah: "Bergabung dengan Inter merupakan impian bagi setiap pemain yang bercita-cita tinggi atas tujuan utama, kemudian menjadi kelab terunggul di Eropah, di dunia.
"Ia adalah satu kegembiraan luar biasa, saya sangat bangga. Ia satu cabaran peribadi yang besar, seperti mimpi.
"(Impian saya sekarang) adalah untuk mengangkat trofi dengan Inter."