Pemain tengah Napoli, Marek Hamsik, teruja apabila berjaya meledak gol ke-100 buat kelab itu selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Chievo Verona dalam aksi Serie A.

Ia merupakan pencapaian kedua buat Hamsik musim ini selepas berjaya mengatasi 81 gol yang dilakar oleh legenda Argentina, Diego Maradona, ketika berdepan Palermo.

Pemain kebangsaan Slovakia itu yang beraksi bersama Napoli sejak tahun 2007, mengakui lega dapat membantu pasukannya meneruskan momentum kemenangan meskipun terpaksa menempuh jadual ketat.

Skuad kendalian Maurizio Sarri itu kini telah melakar empat kemenangan dan satu seri selepas lima perlawanan sejak 10 September lalu.

"100 gol adalah satu pencapaian yang memberikan keterujaan kepada saya," kata pemain berusia 29 tahun itu kepada Sky Italia.

"Saya bangga kerana berjaya melakar kejayaan itu meskipun saya seorang pemain tengah. Cukup memuaskan hati saya. Saya sentiasa cuba bekerja keras demi pasukan ini dan cuba menyempurnakan segala arahan jurulatih.

"Namun, apa yang penting pasukan ini mendapat keputusan yang diharapkan. Kami mahu menang dan itulah yang kami lakukan.

"Ketika ini, kami perlu fokus untuk aksi dalam Liga Juara-Juara Eropah."

Napoli ketika ini menduduki tangga kedua Serie A, satu mata di belakang juara bertahan, Juventus.