Pemain tengah Napoli, Marek Hamsik, mahu merampas takhta yang dipegang legenda Argentina, Diego Maradona, selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman buat kelab itu.

Hamsik menyertai Partenopei 10 tahun lalu dari Brescia dan kini sudah menjaringkan 113 gol buat Napoli, hanya ketinggalan dua gol daripada rekod yang dimiliki Maradona.

Dalam masa sama, pemain Slovakia itu mahu memastikan kejayaannya memecahkan rekod itu dengan menjuarai Serie A sejak kali terakhir dilakukan pada 1990.

"Saya benar-benar berharap dapat memperbaharui rekod itu. Maradona diibaratkan sebagai Tuhan di Naples, jadi ia sesuatu yang hebat untuk mengambil-alih rekod itu," kata Hamsik.

"Semua orang tahu, saya berada jauh daripada kualiti yang dimilikinya tetapi untuk memecahkan rekod itu dan menjuarai Scudetto bersama Napoli dalam musim yang sama, ia sesuatu yang luar biasa.

"Kejuaraan liga adalah matlamat musim ini dan situasi Serie A kini lebih seimbang. Buat masa sekarang, dapat melepasi rekod Maradona sudah memadai buat saya."

Peluang untuk menyaingi rekod itu mungkin tidak dapat dilakukan Hamsik jika dia menerima mana-mana tawaran daripada Juventus atau AC Milan sebelum ini.

"Sebelum ini, saya menolak tawaran Juventus dan AC Milan kerana belum bersedia.

"Saya gembira berada di sini dan mungkin mengakhiri karier bersama Napoli. Diharapkan saya berjaya memenangi Scudetto sebelum berusia 40 tahun," tambah Hamsik.