Napoli kini semakin ketinggalan dalam perlumbaan gelaran Scudetto di belakang Juventus tetapi bagi kapten, Marek Hamsik, dia tidak mahu mengibar bendera putih.

Skuad Partenopei itu memulakan saingan musim ini dengan cemerlang, namun kutipan hanya satu mata dalam dua perlawanan terakhir membolehkan Juve mengisi kedudukan teratas.

Selepas tewas di tangan AS Roma, mereka diikat 0-0 oleh Inter Milan pada hujung minggu lalu, sekali gus memberi laluan buat Bianconeri yang menundukkan Udinese.

Kemenangan 2-0 ke atas Atalanta, Rabu lalu, membolehkan Juve menjarakkan kedudukan kepada empat mata dan mencerahkan peluang untuk meraih Scudetto ketujuh berturut-turut.

Bagaimanapun, Hamsik belum mahu mengalah tatkala kedua-dua pasukan bakal bertemu pada 22 April ini di Turin.

"Napoli tidak akan menyerah kalah," kata Hamsik kepada Radio Kiss Kiss Napoli.

"Kami harus percaya pada diri sendiri kerana akan melakukan perhitungan dengan mereka dan Juve berdepan dua aksi getir di tempat lawan menentang Roma dan Inter.

"Segalanya boleh terjadi. Saingan liga masih terbuka. Masih banyak perlawanan dan mata yang boleh dimenangi," tambahnya.

Napoli memiliki baki 10 perlawanan dan berpeluang mencapai 100 mata, membuatkan Hamsik yakin ia cukup untuk menjulang trofi liga walaupun Juve masih mampu mengutip 101 mata seandainya tewas pada bulan depan.

"Mudah untuk bercakap tetapi sukar untuk melakukannya. Mungkin 100 mata mampu memberikan kami gelaran Scudetto.

"Setakat ini, kami melalui musim yang bagus dan harus meneruskannya," katanya lagi.