Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mahu Akademi Mokhtar Dahari (AMD) diperkasa sebelum badan induk itu mengambil langkah seterusnya termasuk menyelesaikan beberapa isu berbangkit yang berkait dengan Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN).

Hamidin bersama barisan exconya melakukan lawatan rasmi ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang, hari ini, bagi meninjau perkembangan skuad elit dan PPBN.

Delegasi FAM itu turut menyertai sesi taklimat PPBN yang dikendalikan Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal FAM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Selain dimaklumkan mengenai perkembangan terkini melibatkan perancangan dan program PPBN daripada Pengurus Besar AMD, Yusuf Ibrahim, delegasi itu turut meluangkan masa untuk berjumpa 218 pelatih dan 22 jurulatih yang berpangkalan di Gambang itu.

Hamidin menjelaskan FAM akan berusaha untuk memberikan bantuan sebagai langkah untuk mempertingkatkan lagi tahap AMD sekaligus menjadi langkah untuk melahirkan lebih ramai pemain bola sepak yang berkualiti.

"Kami bersetuju untuk memberi bantuan kewangan dan peralatan selain menyelesaikan segera masalah dihadapi," kata Hamidin.

"Banyak perkara di AMD yang perlu diperbaiki dan dipertingkat. Saya percaya AMD akan berada dalam tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang."