Penganalisis sukan negara, Rizal Hashim, optimis dengan kebolehan yang dimiliki presiden FAM ketujuh, Datuk Hamidin Mohd Amin, untuk memimpin persatuan itu ke arah yang lebih cemerlang.

Hamidin dipilih sebagai presiden FAM ketujuh bagi baki penggal 2017-2021 secara rasmi hari ini.

Pemilihan Hamidin menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk menduduki kerusi panas itu diisytiharkan dalam Kongres FAM Ke-54.

Bekas setiausaha agung badan induk bola sepak itu menang tanpa bertanding selepas pencabarnya, bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, dan Pengerusi Insititut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, membuat keputusan menarik diri.

Sebagai presiden pertama bukan daripada kerabat raja, Rizal menjelaskan kehadiran Hamidin bukan selaku boneka, sebaliknya akan berusaha untuk memastikan urusan persatuan berjalan lancar.

"Saya menghadiri Kongres FAM Ke-54 dan mendengar ucapan Hamidin dan menegaskan tidak akan menjadi boneka kepada mana-mana pihak," kata Rizal.

"Beliau memiliki pengalaman yang unik sebagai rakyat biasa pertama dilantik sebagai presiden FAM. Seorang yang kaya dengan pengalaman, cabaran beliau adalah untuk menyatukan persatuan bagi memastikan kelangsungan badan induk itu."

Rizal turut menjelaskan Hamindin perlu berusaha mencari formula terbaik untuk menjana kewangan serta membentuk nama bola sepak negara ke tahap yang lebih tinggi.

"Tempoh pimpinan Hamidin dan rakan-rakan jawatankuasa yang lain akan berakhir pada 2021. Mereka perlu mencari jalan untuk menjana kewangan bagi memastikan tidak bergantung kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mendapatkan dana.

"Mereka juga perlu membentuk sukan bola sepak negara daripada satu jenama yang boleh menarik lebih banyak penajaan," katanya lagi.