Dua bekas ketua pasukan kebangsaan, Hairuddin Omar, menyeru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya mengkaji kriteria pemain naturalisasi demi kebaikan jangka masa panjang sambil Zaquan Adha Abdul Radzak menganggap sebaliknya.

Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi menerima kecaman hebat atas kegagalan mereka untuk menyerlah dalam kempen pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berakhir semalam.

"Saya memang tidak berpuas hati.

"Apabila menjadikan mereka naturalisasi, kita sebagai peminat negara pastinya mengharapkan mereka dapat memberi lebih kebaikan, memberi lebih daripada pemain tempatan tetapi sebaliknya.

"Di pihak kita harus mengkaji sebaik-baiknya," kata Hairuddin.

Namun, bekas pemain kelahiran Terengganu itu tidak menutup pintu mengenai khidmat pemain luar untuk membarisi skuad negara asalkan ia memenuhi kriteria yang tepat.

"Untuk mengetepikan terus De Paula dan Liridon adalah (satu tindakan) yang kurang tepat sebab kita dah beri mereka (status) warga negara.

"Jadi kita harus gunakan khidmat mereka sambil mengharapkan mereka dapat memberikan persembahan terbaik.

"Kalau terus gugurkan mereka daripada pasukan kebangsaan memperlihatkan kita ini seperti kurang cerdik.

"Hanya tidak menyerlah dalam tiga perlawanan, kita terus membiarkan mereka," katanya.





Dalam masa sama, Harimau Malaya mungkin akan diperkuatkan lagi dengan kehadiran muka baru naturalisasi iaitu Gonzalo Cabrera (Johor Darul Ta'zim) dan Endrick Dos Santos (Penang) sebelum jadual perlawanan antarabangsa September depan.

Namun, Hairuddin menuntut FAM lebih bertegas dalam soal ini selain mengharapkan ia bukan satu langkah yang bersifat sementara.

"Untuk mengambil lebih ramai pemain naturalisasi, saya harap pihak yang terlibat kaji sebaik-baiknya apakah kelebihan yang kita akan dapat.

"Contohnya kalau ambil Cabrera, kita perlu fikir adakah dia mampu membantu pasukan tempatan, adakah aksinya lebih baik berbanding pemain tempatan, mampu membuat sesuatu untuk kita di peringkat antarabangsa.




"Kalau setakat cukup syarat lima tahun, saya tidak bersetuju," katanya.

Menurutnya lagi: "Pemain naturalisasi berlaku di mana-mana sekalipun, malah di Jepun dan Sepanyol.

"Kalau hendak ambil pemain naturalisasi, biarlah ambil yang berpotensi, lebih muda agar dapat membantu pasukan negara selama 10 tahun.

"De Paula dan Liridon mungkin sudah tidak bermain di peringkat tertinggi dalam masa setahun dua lagi.

"Apa yang kita dapat? Selama dua tahun kita hanya dapat sumbangan yang tidak seberapa.

"Saya berpandangan kalau mahu ambil pemain naturalisasi biarlah boleh bantu pasukan negara meningkat.

"Dalam masa sama, pembangunan pemain tempatan di peringkat akar umbi harus diperkasakan, diperhebatkan.

"Hanya JDT dan beberapa kelab sahaja yang dilihat begitu serius sementara yang lain tiada apa-apa."

Berlainan pula dengan penyerang Negeri Sembilan, Zaquan Adha, yang beranggapan Harimau Malaya masih mampu pergi jauh dengan bersandarkan sentuhan anak jati tetapi dengan syarat aspek pembangunan tidak diabaikan.

"Saya lebih senang kita beri peluang kepada pemain tempatan beraksi.

"Mereka lebih bersemangat untuk bermain dalam pasukan kebangsaan.

"Tetapi kita tidak boleh salahkan 100 peratus pemain naturalisasi. Masa bersama pasukan kebangsaan tidak mencukupi untuk Liridon misalnya," katanya pula.