Penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, menolak cadangan pembayaran berperingkat yang dikemukakan Pengurus Eksekutif Perak, Hairul Anuar Mohammed, dalam pertemuan pagi tadi.

Jika isu tunggakan gaji berlarutan dan gagal diselesaikan selewat-lewatnya penghujung bulan ini, Hafizul Hakim memilih untuk angkat kaki.

Cadangan itu juga dilihat seperti tidak memberi sebarang jaminan buat pemain-pemain memandangkan kontrak pemain bakal tamat hujung bulan ini.

Justeru, cadangan itu menjadi tanda tanya apakah yang akan berlaku sebaik mereka tidak lagi bergelar pemain kelab berkenaan.

"Jawapan yang diberikan tidak memuaskan pemain-pemain. Saya jangkakan perkara ini akan berlanjutan lama.

"Kami cuba selesaikan gaji tertunggak selama tiga bulan ini. Hari ini kami dapat jawapan bahawa ia tidak dapat dilunaskan sekali gus," katanya di Nadi Arena.





Walaupun masih menyimpan keinginan membantu The Bos Gaurus kembali ke Liga Super, perkembangan terkini itu membuatkannya tawar hati.

Malah, dia tidak menafikan sudah menerima beberapa tawaran daripada kelab divisyen pertama yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.

"Boleh terima pemotongan itu (gaji) tapi biarlah berbaloi, bila potong terlampu banyak ia akan mengganggu komitmen saya.

"Kalau berdasarkan jawapan untuk hari ini, saya akan keluar (pasukan)," katanya agi.

Dalam masa yang sama, ketegasan Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) ditagih sebaik laporan rasmi daripada pemain Perak telah dibuat minggu ini.