Pemain tengah Felda United, Muhammad Hadin Azman, menjadi penyelamat The Fighters menerusi jaringan penyamaan ketika mengikat Kedah 1-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada Sabtu.

Hadin, bagaimanapun, tidak mahu dianggap sebagai wira kerana gol sumbangannya itu sekadar memberikan Felda United satu mata.

Bagaimanapun, dia lega sekurang-kurangnya Felda United tidak tersungkur di laman sendiri ketika Kedah merencana hasrat mencuri tiga mata penuh pada awalnya.

Percubaan Hadin pada minit ke-57 membawa kepada jaringan penyamaan di Stadium Tun Razak, ditambah dengan kegagalan penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim, menutup ruang buatnya.

"Gerakan agak sama kerana itulah yang kami lakukan ketika sesi latihan. Percubaan kali pertama tidak menjadi tetapi peluang itu hadir semula, jadi kami mengambil kesempatan itu untuk menjaringkan gol," ujarnya.

Tegasnya, Felda United mungkin mampu mengubah keputusan seandainya mereka beraksi lebih cemerlang dalam babak pertama.

"Masing-masing ada peluang untuk melakar jaringan, jadi pada saya kutipan satu mata itu adil buat kedua-dua pasukan," tambahnya.