Kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) membenam Ratchaburi Mitr Phol 1-0 malam tadi menjadi hadiah terbaik buat pengendalinya, Benjamin Mora, yang mencecah 42 tahun, semalam.

Harimau Selatan bangkit mencatat kemenangan pertama Liga Juara-Juara (ACL) di Bangkok selepas dikecewakan Nagoya Grampus ketika membuka kempen Kumpulan G, Selasa lalu.

"Hadiah terbaik untuk hari jadi saya ialah tiga mata daripada anak buah.

"Kami tidak akan rugi apa-apa hari ini dan kami tahu ada peluang yang baik untuk menang hari ini," kata ketua jurulatih dari Mexico itu.






Walaupun kurang berbisa di depan gol, Mora tetap berpuas hati dengan usaha anak buah hingga wisel penamat.

JDT mencipta 23 peluang dengan tujuh daripadanya menuju ke sasaran dalam 53 peratus penguasaan permainan.

Justeru, dia menuntut anak buahnya kekal memperagakan semangat juang tinggi apabila berdepan wakil Korea Selatan, Pohang Steelers, Selasa depan.

"Saya berpesan kepada mereka agar terus mencipta peluang selain tidak boleh bersantai jadi terus mencuba dan jadi berani.

"Itu sebab persembahan kami tampak meyakinkan.

"Kami terlepas banyak peluang menarik dan tatkala kebanyakkan pasukan akan mula berputus asa, kami tidak.

"Itulah daya saing yang ada dalam pasukan ini."