Kapten skuad B-18 negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, mengakui sedia menimbangkan kemungkinan menggunakan khidmat ejen bola sepak jika langkah itu dapat membantunya meraih tempat dengan kelab Liga Jepun (Liga-J).

Bagi Hadi, dia menyambut baik sekiranya terdapat ejen bola sepak tempatan atau antarabangsa yang mampu membantunya untuk mendapatkan peluang beraksi di Jepun.

Pemain berasal dari Tanjung Malim itu juga sedia menerima tawaran untuk pasukan remaja atau skuad kedua daripada mana-mana kelab Liga-J.

Sebelum ini, empat kelab Liga-J, Avispa Fukuoka, Sogun Tofu, FC Tokyo dan Vissel Kobe memantau kelibat Hadi dalam saingan Piala Sanix di Fukuoka yang berakhir Ahad lalu.

"Kalau ada yang mahu membantu, itu lebih baik untuk saya kerana ia akan memudahkan segala urusan.

"Kita semua sedar bahawa tahap di sini (Jepun) jauh lebih tinggi berbanding di Malaysia, jadi kalau bermain dengan skuad simpanan pun tidak mengapa kerana saya mahu meraih pengalaman," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada, akan ke Fukuoka hari ini untuk bertemu dengan wakil kelab-kelab Liga-J yang menyuarakan minat terhadap Hadi.

Selaku antara penaja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk skuad kebangsaan, Hamada akan cuba membantu menjadikan impian Hadi itu satu kenyataan.

"Saya akan ke sana untuk mengadakan perbincangan. Saya perlu bercakap dengan Hadi dan juga pihak JDT," ujar Hamada.