Penyerang negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, akan dipinjamkan kepada pasukan Liga Divisyen 3 Jepun (J3), Azul Claro Numazu, daripada kelab asalnya dalam Liga-J2, Fagiano Okayama, bermula Januari hingga Disember 2021.

Hadi Fayyadh telah bersama Fagiano Okayama sejak Disember 2018 dan semakin serasi bersama kelab Jepun itu.

Keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama kedua-dua belah pihak bagi mendapatkan lebih minit permainan buat penyerang kebangsaan itu.

"Terima kasih kepada kelab Fagiano Okayama, terutama kepada semua jurulatih dan pemain yang banyak membantu saya dalam sesi latihan," katanya seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Selama dua tahun bersama kelab ini, saya telah banyak belajar dan memperbaiki diri saya sebagai pemain bola sepak.

"Bagi saya, perpisahan ini hanya sementara. Saya akan kembali ke Okayama, itu sudah pasti.

"Saya juga tidak sabar untuk memulakan musim baru bersama Numazu. Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik," katanya.