BORUSSIA DORTMUND 4 SCHALKE 0

Erling Haaland mendedahkan dia belajar daripada Zlatan Ibrahimovic ketika mengegarkan gawang lawan menerusi gerakan mengagumkan ke atas Schalke dan Jadon Sancho turut memuji mesin gol Borussia Dortmund itu.


Haaland menyumbat dua gol termasuk voli yang menakjubkan ketika Dortmund menundukkan Schalke 4-0 dalam pertembungan'Revierderby' di VELTINS-Arena.

Selepas menjaringkan dua gol dalam kemenangan Liga Juara-Juara (UCL) di Sevilla, Khamis lalu, pemain antarabangsa Norway itu membantu Dortmund melakar catatann baru Bundesliga dengan meledak gol ke-30 dalam 32 perlawanan.

Sentuhan pemusnahnya pada minit ke-45 masih terpahat di fikiran ramai apabila mencipta gerakan gol itu di samping Jadon Sancho, dan Haaland memberitahu Bundesliga.com: "Ia adalah satu gol yang bagus.





"Jelas ia adalah satu bantuan jaringan yang menarik daripada Jadon. Kami berusaha keras dan seronok beraksi bersama pemain sepertinya."

Ditanya apakah dia menjadikan sentuhan Ibrahimovic sebagai panduannya, Haaland -- yang semakin hangat dikaitkan dengan kelab gergasi seperti Real Madrid, Manchester City, Barcelona, ​​Juventus dan Manchester United -- menjawab: "Mungkin. Barangkali saya ada belajar sedikit daripadanya!"

Sancho muncul pemain termuda yang meledak 35 gol dalam sejarah Bundesliga ketika berusia 20 tahun, 10 bulan dan 26 hari.

Menjadi buruan pencabar utama Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal musim ini, pemain antarabangsa England itu memuji Haaland sejurus wisel penamat ditiupkan.

"Dia merupakan mesin gol," kata Sancho.

"Saya gembira dapat membantu gol gilanya, iaitu jaringan pertama disumbatnya.

"Di padang latihan, saya dan Erling bekerja keras jadi saya tidak terkejut apabila dia mampu menjelmakan gerakan itu dalam perlawanan sebenar. Dia sememangnya berhak meraih kesemua pujian ini."

Pengendali sementara Dortmund, Edin Terzic, turut berkesempatan memuji kedua-dua pemain itu.

"Mereka juga hebat dalam beberapa minggu terakhir," kata Terzic.

"Anda boleh melihat kualiti yang dibawa mereka. Dalam gerakan gol kedua, hantaran silang Jadon sudah pun luar biasa disusuli pula tendangan Erling yang luar biasa.

"Dari perspektif pengurus, saya harus mengatakan bahawa kami memang patut mencetak gol ketiga kerana ia adalah usaha pasukan yang hebat.

"Kami mempraktikkan gaya ini dalam latihan, cara kami ingin bergabung hantaran sebelum membuka pertahanan lawan melalui satu sentuhan di sayap dan hantaran silang.

"Jadi gol ketiga itu menjadikan saya lebih senonok dan bangga."