"Saya hadir untuk mendatangkan perubahan apabila pasukan mengalami kesukaran," ujar pendahulu senarai penjaring Liga Perdana Inggeris ketika ini, Erling Haaland, daripada Manchester City.

Setelah empat perlawanan, City nyata selesa di tangga kedua liga, dan peranan yang dimainkan Haaland mengisi satu ruang kosong yang telah lama tidak dirasakan oleh pasukan itu semenjak perpindahan penyerang legenda mereka, Sergio Aguero.

Sejak dari zamannya bersama Barcelona lagi, pengurus City, Pep Guardiola, mementingkan aspek penguasaan bola secara menyeluruh dalam setiap perlawanan.

Gaya permainan sebegini memerlukan setiap pemain untuk bergerak secara aktif bagi mencari ruang untuk menerima hantaran daripada rakan sepasukan, serta semestinya hantaran demi hantaran dilakukan secara konsisten dan jitu.

Disebabkan gagal untuk beradaptasi dengan gaya sedemikian, penyerang Chelsea, Romelu Lukaku, mengharungi satu musim yang cukup perit dan tidak bermaya.

Setakat ini, apa yang City lakukan demi memastikan kesudahannya berbeza buat Haaland adalah dengan menjadikannya sebagai paksi serangan utama -- pemain yang tidak perlu untuk terlalu banyak terlibat dalam pembinaan serangan tetapi perlu memastikan kehadiran penyudah yang tajam serta meloloskan diri daripada kawalan ketat pihak lawan.




Menurut statistik akhbar The Athletic, purata sentuhan bola bagi seorang pemain penyerang adalah sebanyak 42.2 kali dalam satu perlawanan, namun dalam kemenangan pertama City menentang West Ham, Haaland menjaringkan dua gol biarpun hanya menyentuh bola sebanyak 32 kali.

Dalam perlawanan berikutnya menentang Bournemouth, di mana City menang 4-0, Haaland dikawal rapi oleh pemain-pemain pertahanan lawan yang adakalanya mengerah tiga pemain serentak, menyebabkan dia hanya berjaya menyentuh bola sebanyak lapan kali.

Namun, disebabkan pemain pertahanan terpaksa menumpukan perhatian khas terhadap Haaland, ruang terbuka luas buat pemain-pemain City yang lain seperti Kevin De Bruyne, Phil Foden, Bernardo Silva dan Ilkay Gundogan untuk bergerak bebas dan menentukan rentak permainan semahu mereka.

Wajar disebutkan bahawa dalam perlawanan itu, Haaland masih dapat melakukan bantuan jaringan di sebalik segala kawalan ketat terhadapnya, di mana lorongan cantiknya terhadap Ilkay Gundogan menghadirkan gol pembukaan.

Sewaktu menjaringkan hatrik ketika menentang Crystal Palace pada hujung minggu lalu, gol-gol tersebut hadir setelah Haaland diberikan peluang untuk melakukan sebanyak tujuh percubaan dan hanya 16 sentuhan secara keseluruhan.




"Ketika pihak lawan menyangka Haaland tidak terlibat dalam pembinaan serangan, dia muncul secara tiba-tiba dan melakukan penyudah tanpa kesilapan," ujar Guardiola dalam temu bual pasca perlawanan.

Setiap pasukan mempunyai pasukan tertentu yang cukup liat untuk ditewaskan dan Crystal Palace merupakan salah satu pasukan tersebut buat City, di mana pada musim lalu mereka gagal meraih walau satu mata pun ketika menentang anak-anak buah bimbingan pemain legenda Arsenal, Patrick Vieira, itu sebanyak dua kali.

Selepas 21 minit, Crystal Palace sudah pun mendahului dua gol dan skrip musim lalu kelihatan bakal berulang sekali lagi.

Namun, kehadiran Haaland mengubah segala-galanya.

Gol pertama Haaland hadir daripada tandukan padu setelah menerima umpanan cantik Foden -- dilaporkan umpanan sedemikian tidak mudah untuk disambut mana-mana penyerang City sebelum ini.

Gol kedua dihasilkan daripada naluri seorang penyerang sejati yang secara semulajadinya tahu di mana untuk bergerak bagi memastikan bola menerjah jaring.

Gol ketiga pula adalah bukti kekuatan fizikalnya, di mana dua pemain yang bertahan secara serentak pun tidak mencukupi untuk membendung kemaraannya.

Selepas perlawanan, Haaland berseloroh mengatakan bahawa bapanya, Alf Inge, telah menjaringkan sebanyak 18 gol secara keseluruhan sewaktu zamannya, jadi matlamatnya adalah untuk mengatasi angka tersebut.

Tetapi penyerang legenda England, Alan Shearer, pula meramalkan Haaland akan menjaringkan lebih daripada 30 gol semusim dengan mudah sekali.

Teringat akan satu komen yang ditulis di salah satu laman media sosial: "Sebenarnya musim ini semua pasukan lain cuma berebut untuk mendapat tempat kedua, takhta juara sudah lama disahkan milik City."