Pemain sensasi Salzburg, Erling Haaland, mengecap salah satu impian dalam kariernya apabila menjaringkan gol ketika pasukannya tewas 3-4 kepada Liverpool dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Anfield awal pagi tadi.

Ia bermakna ayahnya yang cukup terkenal, Alf-Inge Haaland, tidak lagi boleh memperkecilkannya dengan berulang kali menceritakan mengenai jaringannya di stadium Liverpool ketika mewakili Leeds United satu ketika dahulu.

Jaringan sehari selepas Krismas pada 1997 itu tercipta sebelum Erling dilahirkan dan ia merupakan gol sagu hati pasukan pelawat itu selepas ketinggalan tiga gol.

Tidak seperti Alf-Inge -- pemain pertahanan yang turut pernah mewakili Nottingham Forest dan Manchester City -- Erling merupakan penjaring prolifik yang semakin mencuri tumpuan di seluruh Eropah.

Dia merekodkan gol keempatnnya daripada dua perlawanan Liga Juara-Juara musim ini ketika menyamakan kedudukan 3-3 ke atas Liverpool, hanya untuk melihat Mohammed Salah menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada minit ke-69.

Penyerang kebangsaan Norway itu, yang menjaringkan hatrik ke atas Genk dalam perlawanan pembukaan, amat teruja apabila mengulangi kejayaan bapanya.

Dia berkata kepada DAZN: "Sekarang saya mempunyai rekod jaringan yang sama di sini. Dia sentiasa berkata kepada saya: 'Ayah jaringkan gol di Anfield, ayah jaringkan gol di Anfield.'

"Kini saya boleh membalasnya: 'Saya juga pernah.'

"Ia perlawanan yang gila dan kami membuktikan yang kami mampu untuk melakukannya di peringkat tertinggi.

"Kami terlalu hampir untuk mencatat seri.

"Terdapat beberapa perkara kecil yang mungkin boleh kami lakukan, namun ia terlalu sukar ketika berdepan Liverpool -- mungkin perlawanan paling sukar di dunia ketika ini," katanya.