Erling Haaland telah menyatakan keputusan mengenai masa depannya akan dibuat tidak lama lagi, dengan pemain berusia 21 tahun itu mendakwa Borussia Dortmund mendesaknya untuk memberikan kata putus.

Haaland menjaringkan gol ke-14 dan ke-15 Bundesliganya bagi musim 2021-22 dalam kemenangan 5-1 ke atas Freiburg.

Kemenangan itu melonjakkan pasukan Dortmund kendalian Marco Rose kepada tiga mata di belakang pendahulu Bundesliga, Bayern Munich, yang beraksi hari ini.

Sepanjang 2021, hanya Robert Lewandowski (58) yang menjaringkan lebih banyak daripada Haaland (43) dalam semua pertandingan, pemain dalam lima liga besar Eropah.

Haaland secara konsisten dikaitkan dengan perpindahan meninggalkan Dortmund, dengan ejennya, Mino Raiola, kerap menggoda kelab elit Eropah.

Barcelona, Real Madrid, Paris Saint-Germain, Chelsea, Manchester United dan Manchester City semua dikhabarkan berminat, dengan penyerang itu dilaporkan memiliki klausa perlepasan bernilai EURO75 juta yang bakal diaktifkan hujung musim ini.

Haaland setakat ini masih mendiamkan diri mengenai langkah seterusnya, dalam temu bual dengan wartawan Viaplay, Jan Aage Fjortoft, selepas perlawanan semalam, pemain muda itu mengesahkan dia akan membuat keputusan tidak lama lagi.

Dan nampaknya Haaland meletakkan tanggungjawab semula kepada Dortmund, dengan mendakwa kelab itu telah memberi tekanan kepadanya sejak sekian lama..

"Enam bulan lepas saya telah memilih untuk tidak berkata apa-apa kerana menghormati Dortmund, tetapi kini kelab telah mula mendesak saya untuk membuat keputusan, tetapi apa yang saya mahu lakukan ialah bermain bola sepak," katanya.

"Tetapi mereka mendesak saya untuk membuat keputusan sekarang tentang masa depan saya. Jadi ini bermakna saya perlu membuat keputusan tidak lama lagi.

"Mereka sudah mula memberi tekanan kepada saya, saya perlu menerimanya. Saya telah memilih untuk tidak berkata apa-apa kerana menghormati kelab dan peminat. Tetapi kini banyak tekanan datang dari kelab, jadi sekarang adalah masa untuk memulakan sesuatu.

"Inilah yang mereka mahukan. Ini bermakna perkara akan berlaku sekarang. Saya sudah katakan dari awal lagi bahawa saya mahu fokus kepada bola sepak kerana ketika itu saya berada pada tahap terbaik, bukan apabila perkara lain terlintas di fikiran. Jadi ya, sekarang mereka telah memberi tekanan untuk seketika, sudah tiba masanya untuk memulakan sesuatu.

"Bukan sekarang, kerana kami berada di tengah-tengah tempoh sukar dengan banyak perlawanan. Apa yang saya mahu lakukan ialah bermain bola sepak, tetapi saya tidak boleh melakukannya sekarang."