Penghijrahan penyerang Borussia Dortmund, Erling Haaland, ke Manchester City akan menjadi penanda aras yang baru buat bola sepak, demikian menurut pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sedikit masa lagi dijangka akan mengumumkan kelibat penggempur Norway itu yang telah meledak 21 gol dalam 23 perlawanan Bundesliga musim ini sebagai bintang baru mereka.

City kendalian Pep Guardiola dan The Reds mendominasi kancah domestik sejak musim 2018-19 apabila saling menamatkan saingan dengan 98 dan 97 mata untuk perebutan tempat teratas selain bergilir-gilir melengkapkan kejayaan itu.

Tetapi ia sama sekali tidak menggoyahkan pengendali dari Jerman itu yang menganggap dia turut mempunyai acuan tersendiri untuk terus memberi saingan.

"Saya menandatangani kontrak baharu sambil mengetahui City tidak akan berhenti membangun, jadi ia bukan soal City untuk menentukan sama ada kami boleh gembira atau tidak kerana ia terpulang kami dan kemampuan sendiri," kata Klopp kepada Sky Sports.






“Anda mempunyai begitu banyak peluang dan begitu banyak cara berbeza untuk memenangi perlawanan bola sepak, kami perlu mencari satu jalan sahaja.

“Ia merupakan satu kemungkinan jadi anda mampu melakukannya, kami mampu berentap dengan City dalam dua atau tiga perebutan piala, baik dalam Liga Juara-Juara (UCL) mahupun apa sahaja, mungkin bertembung dalam lima atau enam perlawanan akhir setahun, kami hanya menganggap mereka seperti pencabar yang lain juga.

"Ya, seandainya Erling Haaland memutuskan untuk ke sana ia tidak akan melemahkan mereka, pasti tidak.

"Saya rasa perpindahan ini sudah cukup diperkatakan. Saya tahu isu ini sedang berlegar dan ramai orang bercakap soal wang.

"Jadi biar saya katakan sebegini, perpindahan ini akan menjadi satu penanda aras yang baru."