Karim Benzema menerima pujian menggunung selepas melakukan hantaran kuisan tumit sensasi yang membantu kemenangan 1-0 Real Madrid ke atas Espanyol dalam perlawanan LaLiga di Stadium RCDE awal pagi tadi.

Casemiro memanfaatkan peluang itu untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan yang memberikan Madrid kelebihan dua mata di puncak LaLiga tetapi penyerang itu perlu berterima kasih kepada kemahiran luar biasa yang dipamerkan Benzema.

Bantuan gol yang ke-117 daripada bekas penyerang Perancis itu sepanjang bersama Madrid dicetuskan menerusi kuisan tumit gemilang yang melintasi kaki pemain pertahanan, Bernardo Espinosa, untuk mudah ditolak masuk Casemiro.

Sentuhan magisnya itu terus dibandingkan dengan apa yang dilakukan legenda Madrid, Guti, yang melakukan perkara sama ketika membantu Benzema menjaringkan gol ke atas Deportivo La Coruna pada 2010.

Ketika klip video yang membanding-bandingkan dua situasi itu berlegar-legar di laman sosial, Guti turut mengambil bahagian dalam perbincangan berkenaan sambil memuji bekas rakan sepasukannya itu.

Dengan mengirimkan sekeping gambar berkenaan bantuan jaringannya itu, bekas pemain berusia 43 tahun tersebut turut menandakan Benzema dalam kiriman itu dengan kapsyen: "Magis, kawan, dahsyat".