Liverpool harus memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri menjelang pertembungan 'derby' Piala FA dengan Everton yang sedang membara di bawah kendalian Carlo Ancelotti tengah malam Isnin ini, menurut Jurgen Klopp.

Anfield akan menjadi medan kepada Klopp dan Ancelotti untuk bertemu buat kali kedua dalam tempoh enam minggu selepas pengurus berbangsa Itali itu melakukan lawatan Liga Juara-Juara (UCL) di samping Napoli.

Kedua-dua pasukan berkongsi mata ketika seri 1-1 tetapi jodoh Ancelotti dengan kelab Serie A itu tidak bertahan lama apabila dipecat.

Everton segera menawarkan kontrak kepada bekas pengurus AC Milan, Real Madrid dan Bayern Munich itu.

Justeru, kemenangan ke atas Burnley dan Newcastle memberikan Ancelotti permulaan yang positif.

Kekalahan tipis kepada Manchester City menyusuli kempen mereka tetapi Klopp menghidu kebangkitan musuh setempat itu.

"Mereka jelas sedang bersemangat tinggi dan ia tidak mengejutkan. Kami cuma perlu memastikan bahawa kami bersedia untuk itu," katanya.

"Kami memerlukan penyokong. Itulah satu-satunya bekalan yang kami ada dalam perlawanan ini. Tiada pasukan yang akan diangkat sebagai pilihan, hanya dua pasukan akan menentang satu sama lain. Dalam kes ini, dua pasukan dari bandar yang sama.

"Satu-satunya kelebihan yang ada ialah stadium kami, jadi ayuh gunakannya dan curahkan segala kudrat -- itulah rancangannya."

Pertembungan pusingan ketiga itu akan meneruskan rekod tanpa kalah Liverpool selama setahun dalam EPL selepas mengesahkan kejayaan berkenaan dalam kemenangan 2-0 ke atas Sheffield United di Anfield, Khamis lalu.

Tuan rumah itu terkandas kepada Wolves di peringkat yang sama musim lalu, namun Klopp berkemungkinan akan merombak pasukannya bagi memberi laluan kepada beberapa tonggak utamanya untuk berehat, justeru Everton mungkin mengintai peluang untuk mengecewakan tetangga mereka itu.

Sudah tentu, Klopp tidak memandang rendah kualiti yang dimiliki musuh setempat itu, apatah lagi Ancelotti juga merupakan bekas juara Piala FA ketika mengemudi Chelsea.

"Carlo Ancelotti adalah salah seorang pengurus pintar yang saya pernah temui dan dia tidak akan mengambil alih jawatan itu jika mereka tidak mempunyai skuad yang baik," tambahnya.

"Kami sentiasa yakin bahawa skuad Everton adalah bagus. Mereka benar-benar bagus, mereka banyak melabur dalam tempoh beberapa tahun ini.

"Mereka membawa pemain-pemain yang sangat baik dan tidak berjaya atas beberapa faktor tetapi gabungan pengurus dan skuad yang baik membantu dalam bola sepak dari semasa ke semasa. Jelas sekali Carlo merupakan individu yang boleh mengangkat pasukan itu."

Penyerang muda, Rhian Brewster, yang disebut-sebut akan dipinjamkan turut tersenarai sementara muka baru, Takumi Minamino, berkemungkinan akan memainkan peranan pertamanya sejak tiba dari Salzburg.



Editor: Shaiful Shamsudin