Portugal mungkin kehilangan khidmat Raphael Guerreiro yang mengalami kecederaan patah kaki bagi baki saingan Piala Konfederasi.

Guerreiro tidak dapat meneruskan permainan dan terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-66 ketika Portugal meraih kemenangan 1-0 ke atas Russia di Moscow, awal pagi tadi.

Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, bimbang bintang Borussia Dortmund itu, yang melakukan hantaran silang untuk Cristiano Ronaldo menyumbat gol kemenangan, berkemungkinan besar mengalami kecederaan yang serius.

"Guerreiro telah dibawa ke hospital. Kami berasakan dia mengalami kecederaan patah kaki," kata Santos.

"Ia merupakan saat yang mengecewakan buat Portugal. Dia seorang pemain yang bagus dan banyak membantu pasukan.

"Dia memiliki kualiti untuk beraksi di pentas tertinggi dan merupakan antara pemain yang memberikan impak kepada pasukan.

"Kami amat kesal dengan perkara ini tetapi akan melihat dan menantikan keputusan daripada hospital."

Guerreiro merupakan salah seorang pemain yang membantu Portugal meraih trofi Euro 2016 dan menyertai Borussia Dortmund bagi musim 2016-17.