Guardiola yakin Arteta mampu ubah nasib Arsenal

Ammar Hakim
Ogos 29, 2021 03:12 MYT
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, menyokong rakan senegaranya, Mikel Arteta, untuk mengubah nasib Arsenal berikutan permulaan terburuk The Gunners dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
10 pemain Arsenal tewas 5-0 kepada City di Stadium Etihad semalam sekaligus menjadikan kekalahan ketiga bertur-turut tanpa menjaringkan gol sejak permulaan musim EPL.
The Gunners hanya pasukan kedua dalam sejarah EPL gagal meraih sebarang mata dan memiliki -9 perbezaan jaringan dalam tiga perlawanan pertama, selepas Wolves pada 2003-04.
Wolves menamatkan saingan di tangga tercorot musim ini, dan Arsenal kini berada dalam keadaan yang membimbangkan selepas diaibkan City.
Arteta kini di bawah tekanan luar biasa menjelang rehat antarabangsa, tetapi Guardiola yakin keputusan akan bertambah baik buat Arsenal selepas senarai masalah kecederaan mereka berakhir.
Guardiola, yang bergandingan bersama Arteta tiga tahun di Stadium Etihad sebelum mengambil tugas di Arsenal, berkata kepada BBC Sport: "Mikel mengetahui saya amat menyayanginya.
"Dalam dua atau tiga tahun dia berada di sini dia watak penting dengan apa yang telah kami bina. Orang hanya mahukan hasil segera.
"Tetapi banyak pemain yang mereka laburkan, seperti Ben White dan Thomas Partey, tidak beraksi. Tanpa mereka ia menyukarkan mereka.
"Saya tahu kesedarannya sebagai pengurus dan sebagai pemimpin. Apabila semua orang sudah kembali, dia akan melakukan tugas yang sangat baik. Saya tahu ini kerana saya mengenali dia, saya tahu apa yang boleh dia lakukan.
"Saya tidak bercakap sebagai rakan saya bercakap sebagai profesional. Bekerja di sampingnya saya banyak belajar. Dia banyak mengajar saya. Pasukan kkami sekarang adalah kerana apa yang dilakukannya.
"Saya tidak mempunyai keraguan. Dia boleh mendapat hasil yang baik, hasil yang buruk, pendapat saya tentang Mikel adalah di luar apa yang dapat dibayangkan oleh orang. Saya yakin dia akan kembali ke landasan yang betul."
#Arsenal #Manchester City #Pep Guardiola #Mikel Arteta