Pep Guardiola percaya Ole Gunnar Solskjaer kini mula menyaksikan Manchester United beraksi seperti era Sir Alex Ferguson.

Skuad kendalian Guardiola, Manchester City, bakal bertandang ke United dalam aksi pertama separuh akhir Piala EFL awal pagi esok.

Anak buah Solskjaer itu menang dalam pertemuan kedua-dua pasukan itu di Etihad bulan lalu dalam kemenangan yang disusuli kekalahan di tangan Tottenham Hotspur, sekali gus menambah tekanan buat pengendai dari Norway itu.

United tewas 2-0 di tangan Arsenal dalam aksi liga ketika Hari Tahun Baru sebelum diikat 0-0 oleh Wolverhampton Wanderers dalam saingan Piala FA kelmarin.

Namun, di sebalik keputusan yang tercatat, Guardiola telah melihat peningkatan hasil sentuhan Solskjaer bersama United.

"Dia mula menemui pasukan yang dimahukan. Itu perasaan saya apabila melihat pasukannya walaupun tewas di tangan Arsenal dalam aksi terakhir.

"Tidak mudah untuk mengambil alih sebuah kelab yang besar, sentiasa mahu bergelar juara tetapi saya fikir setiap pengurus memerlukan masa. Saya mula dapat rasakan United mula beraksi seperti apa yang dimahukan atau mengikut era Ferguson."

Ditanya apa yang dipelajari susulan kekalahan 2-1 City di tangan United, Guardiola menjawab: "Ia membuktikan mereka pantas, ampuh dan agresif.

"Kami dibolosi hasil beberapa serangan balas di permulaan dan dalam dua atau tiga saat, mereka berada dalam kotak penalti, jadi mereka mempunyai kepantasan dan bakat yang begitu memukau. Secara keseluruhan, perlawanan itu agak baik, kami mencipta peluang tetapi tidak bernasib baik untuk menang."



Editor: Nafis Abdullah