Guardiola tidak perlu ungkit kegagalan lalu pacu motivasi berdepan Real Madrid

Shaiful Shamsudin
Julai 25, 2020 23:38 MYT
Pep Guardiola tidak percaya Manchester City perlu mengenangkan peristiwa tersingkir daripada kempen Liga Juara-Juara (UCL) yang lalu atau kegagalan mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila berdepan Real Madrid kelak.
City berhasrat untuk menjuarai kejohanan kelab elit Eropah itu buat julung kalinya pada 2019-20 tetapi terlebih dahulu perlu melepasi rintangan juara 13 kali berkenaan berbekalkan pendahuluan 2-1 menjelang pertemuan kedua pusingan 16 bulan depan.
Musim-musim kebelakangan ini menyaksikan pasukan bimbingan Guardiola itu terkandas kepada Liverpool dan Tottenham di peringkat kalah mati di sebalik mendominasi EPL.
Namun, musim ini, Liverpool unggul dalam liga apabila jauh meninggalkan City yang suram dalam saingan domestik termasuk gagal mempertahankan gelaran Piala FA.
Guardiola menegaskan bahawa motivasi pasukannya tidak akan luntur atas pencapaian hambar musim ini dalam misi menjulang mahkota Eropah tersebut sambil menganggap perbandingan seperti itu tidak diperlukan.
"Apa yang saya mahukan adalah memperagakan permainan yang menarik," katanya.
"Ini benar-benar seperti satu perlawanan akhir. Bagi kami, bertemu Madrid, ini adalah aksi final.
"Kami berhasrat untuk mengelak daripada melakukan kesalahan dan menampilkan permainan seperti yang kami harapkan.
"Saya rasa apa yang berlaku pada masa lalu tidak akan membuat mereka beraksi dengan lebih baik. Apa yang berlaku pada masa lalu sudah berlalu. Kadang-kadang itulah hakikatnya. Terima sahajalah.
"Inilah kehidupan. Ia tidak sempurna, tidak berfungsi dengan sempurna untuk kita semua, termasuk dalam kehidupan peribadi dan juga kehidupan profesional kita.
"Motivasinya adalah dengan melaluinya. Demi membuktikan kepada diri sendiri bahawa kami mampu beraksi dengan baik dan menumpaskan Real Madrid. Itulah satu-satunya perkara yang dapat kami boleh lakukan.

? Best midfielder in Europe? ? Kevin De Bruyne against Real Madrid at the Bernabéu... #UCL | @ManCity | @DeBruyneKev pic.twitter.com/hsbS2SD6eh

— UEFA Champions League (@ChampionsLeague) July 21, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Apa yang berlaku pada masa lalu tidak akan memberi kami kelebihan atau sesuatu yang istimewa untuk masa depan bagi menghadapi Real Madrid.
"Dengan menonjolkan permainan yang baik di semua posisi selain menyelesaikan setiap masalah yang patut dalam tempoh dua minggu ini, ia akan membuka peluang kepada kami untuk memenangi perlawanan ini dan mara."
Ketika ditanya apakah barisan pemainnya dahagakan kejayaan, sambungnya sambil tertawa: "Jika mereka tidak memilikinya, kami akan menghadapi masalah. Kami tidak akan mara.
"Perlawanan ini adalah mengenai kemahuan. Ini adalah Real Madrid. Kami tahu kualiti yang mereka miliki di segenap posisi. Pemain tahu liga Eropah, mereka tahu.
"Mereka menonton perlawanan akhir UCL ketika Madrid menjuarainya. Mereka menyedarinya. Tidak perlu memberitahu mereka sesuatu yang istimewa.
"Kami akan bercakap sedikit tentang apa yang akan kami lakukan dalam perlawanan ini. Tiada yang istimewa berbanding dengan apa yang kami lakukan musim ini. Taktik atau sesuatu yang istimewa tidak akan memenangi perlawanan ini.
"Tenaga yang kami ada di dalam diri, kelab kami dan kita semua. Ia akan merangsang peluang kami untuk layak -- tidak lebih daripada itu.
"Saya rasa menerusi perlawanan seperti ini, satu pertembungan istimewa, anda sedar mengenai kemahuan setiap pemain untuk cuba memenanginya."