Guardiola tidak anggap keberanian taktikalnya perlu dipuji melambung

Shaiful Shamsudin
Februari 29, 2020 03:32 MYT
Pep Guardiola enggan memperbesarkan kepentingan perubahan taktikalnya sambil mengeluh mengenai masalah kecederaan yang menimpa Manchester City dengan menyatakan: "Tiada seorang pengurus yang dapat mengharungi perlawanan tanpa pemain".
Guardiola menyaksikan anak buahnya membenam Real Madrid 2-1 di tempat lawan dalam pertembungan pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) kelmarin.
Pengurus City itu dihamburkan pujian susulan pendekatannya di Santiago Bernabeu itu yang menyaksikan Gabriel Jesus beroperasi di sayap kiri dan dua pemain tengah -- Kevin De Bruyne dan Bernardo Silva -- sebagai penggempur.
Namun, Guardiola, yang sedang mempersiapkan pasukannya untuk menghadapi perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Aston Villa, malam esok, menganggap hari ini terlalu banyak kepercayaan yang diberikan kepada sistem permainan yang diterapkan dan bagaimana pasukan akan beraksi.

Zinchenko has missed the rain, @benmendy23 thinks he's still in Madrid and @sterling7 is in goal?! Game has gone ??? #ManCity pic.twitter.com/0oznVR9b7M

— Manchester City (@ManCity) February 28, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ditanya sama ada adakah sukar buat City untuk mengubah taktik mereka di Wembley kelak, bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu pantas membidasnya.
"Yang pertama, saya ingin mengatakan bahawa saya fikir anda silap. Anda tidak belajar," katanya kepada pemberita.
"Garisan kemenangan dan kekalahan adalah begitu tipis. Lupakan perubahan taktikal yang telah saya lakukan.
"Saya pernah melakukannya berkali-kali dan ia tidak menjadi -- ia merupakan satu bencana atas banyak sebab yang lain -- tetapi ia tidak pula dibangkitkan.
"Namun, ramai yang tidak menyedari apabila seorang pengurus itu melakukannya dan mencapai kemenangan, ia dianggap sempurna dan pengurus itu seorang yang pantir manakala pengurus yang gagal dianggap sebagai satu bencana. Namun, orang tidak faham bahawa ia bukan seperti itu.
"Dalam perlawanan itu, Sergio Ramos melakukan percubaan dan ia dihalang oleh Fernandinho dengan bahunya dan bola itu keluar.
"Jika tidak, mereka boleh menyumbat gol kedua dan andai itu berlaku, keputusan pengurus Manchester City akan dianggap sebagai satu bencana sementara keputusan yang dibuat Zidane adalah sempurna. Hanya sedikit jurang menjadi pemisah.
"Apa yang berlaku kepada kami pada masa lalu? Seribu contoh yang dapat saya jelaskan dalam tiga atau empat tahun terakhir mengenai peringkat kalah mati ini: kami tersingkir disebabkan butiran kecil seperti ini dan kami mengambil kira mengenainya."
Begitupun, pengurus berbangsa Sepanyol itu memuji barisan pemainnya yang menjayakan taktikal tersebut.
#Manchester City #Pep Guardiola #Real Madrid #UCL #Liga Juara-Juara