Pep Guardiola gembira dengan semangat juang yang ditonjolkan Manchester City ketika ketika melepasi rintangan Burnley 2-0 di Etihad Stadium, tengah malam tadi.

City memenangi keempat-empat perlawanan dalam pertemuan liga mereka yang lalu, tetapi kali ini pelawat mencetuskan masalah buat pasukan asuhan Guardiola itu sebaik Bernardo Silva membuka tirai gol.

Ia adalah gol ketujuhnya ke atas Burnley dalam lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi buntu untuk mengulangi prestasi sama selepas itu.

Bagaimanapun, Kevin De Bruyne memastikan gol kedua dalam perlawanan kedua berturut-turut di peringkat kelab ketika permainan berbaki 20 minit untuk juara bertahan itu memperoleh kemenangan kesembilan berturut-turut ke atas Burnley dalam semua kejohanan.

Walaupun City kini memiliki enam catatan bersih dalam lapan perlawanan liga musim ini sementara Burnley bergelut tanpa kemenangan dalam 11 perlawanan, Guardiola mengakui pasukannya terpaksa berjuang bersungguh-sungguh.

"Kami berlari dan berjuang untuk setiap bola," katanya kepada BBC Sport.

"Burnley bermain hantaran tinggi dan mereka menjadi jaguh dalam hal ini.

"Kami perlu mempertahankan bola mati dengan baik dan apa pun boleh terjadi seandainya Chris Wood menyumbat gol itu. Sayangnya, kami mempunyai peluang tetapi tidak dapat menjaringkan lebih banyak gol lagi.

"Yang penting adalah meningkatkan permainan kami. Saya berpuas hati dengan persembahan separuh masa kedua yang lebih baik daripada yang pertama. Pasukan menunjukkan kepada saya cara kami mahu beraksi dan rentak permainan yang ingin kami peragakan.

"Semua pemain telah memberikan segalanya. Bukan masalah sama ada persembahannya bagus atau tidak; apa yang penting ialah anda berjuang untuk rakan sepasukan dan pemain pula amat luar biasa."






Guardiola yang menurunkan John Stones dan Raheem Sterling dalam barisan utama yang janggal mengatakan kedua-duanya telah beraksi dengan sangat baik.

Dia menambah: "Ini adalah satu perlawanan yang sukar. Saya cuba memberitahu mereka agar melupakan kemenangan 5-0 sebelum ini kerana Burnley akan sentiasa berjuang dan tidak pernah berputus asa.

"Mereka boleh pergi ke mana-mana stadium dan menimbulkan masalah. Pemain saya tahu apa yang harus dilakukan, jadi hari ini saya memberikan penghargaan tinggi kepada mereka."