Pep Guardiola memuji naluri menjaringkan gol Ferran Torres selepas pemain muda itu menyumbat masuk hatrik pertamanya buat pasukan juara itu ketika menewaskan Newcastle United 4-3 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat lawan awal pagi tadi.

Torres, yang menyertai pasukan itu dari kelab LaLiga, Valencia,menjelang musim 2020-21, meletakkan City mendahului 2-1 menerusi penyudah liciknya selepas Joao Cancelo memadamkan jaringan awal Emir Krafth.

Jaringan Penalti Joelintan dan gol Joe Willock -- yang dijaringkan selepas sepakan penalti pemain pinjaman dari Arsenal itu diselamatkan -- kembali meletakkan The Magpies di depan tetapi Torres kemudian menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit untuk memastikan City memecahkan rekod di England dengan 12 kemenangan berturut-turut.

Kejayaan menjaringkan hatrik itu juga menyaksikan Torres telah mengumpulkan 13 gol sepanjang musim ini dengan rakan sepasukannya, Phil Foden (14 gol), merupakan satu-satunya pemain berusia 21 tahun dan ke bawah telah menjaringkan lebih banyak gol buat kelab EPL dalam kesemua kejohanan.

Wira hatrik di St James' Park itu juga menjadi pemain termuda menjaringkan hatrik buat pasukan yang dikendalikan Guardiola selepas melakukannya pada usia 21 tahun dan 75 hari.

Guardiola memberikan pujian menggunung buat pemain kebangsaan Sepanyol itu dan percaya Torres memiliki segala-galanya untuk menjadi penyerang tengah yang berjaya.

"Ia merupakan musim pertamanya di England dan jumlah yang dihasilkannya amat luar biasa," kata pengurus City itu kepada Sky Sports.

"Dia tiba sebagai pemain sayap tetapi dia perlu memikirkan tentang menjadi seorang penyerang. Apabila Sergio Aguero dan Gabriel Jesus tidak dapat diturunkan, dia ada di sana.

"Dia tidak dapat minit permainan tetapi apabila dia bermain, dia mempunyai naluri untuk menjaringkan gol. Saya amat gembira.

"Dia boleh menjadi pemain nombor 9. Kami akan menggunakannya, kami mencubanya dan dia amat hebat. Rentaknya, terutama secara bertahan, sudah banyak meningkat.

"Pergerakan yang dilakukannya sebagai seorang penyerang. Gol ketiganya terkena palang dan dia tahu ia akan masuk. Penyerang tahu secara naluri bila jaringan akan tiba. Dia mempunyai bakat ini, gol pertamanya amat hebat," katanya.