LEICESTER CITY 0 MANCHESTER CITY 1

Pep Guardiola memuji penjaring gol tunggal, Bernardo Silva, selepas Manchester City merekodkan kemenangan ketiga dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.

Silva merupakan pemain paling menonjol ketika City menewaskan Leicester City di Stadium King Power untuk kini berada satu mata di belakang pendahulu EPL, Manchester United.

Perancang Portugal itu menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-62 selepas turut merekodkan dua percubaan tepat dan mencipta tiga peluang -- berada di belakang Ilkay Gundogan dan Jack Grealish (empat peluang).

Silva pada awalnya dijangka akan meninggalkan City dalam jendela perpindahan lalu, di mana Guardiola mengesahkan pada bulan lalu bahawa pemain berusia 27 tahun berkenaan sedang mencari satu pasukan baru.

Bagaimanapun, tiada pasukan lain kelihatan sesuai dan Silva kemudian meningkatkan tahap permainannya musim ini dengan menggantikan tonggak yang cedera, Kevin De Bruyne, di jentera tengah City dan kerap mempamerkan gandingan serasi dengan pemain baru, Grealish.

"Bernardo sudah kembali ke prestasi dan mentaliti terbaiknya. Dia pemain yang luar biasa dan kami semua menyedarinya," kata Guardiola kepada Sky Sports.

Dalam sidang media selepas perlawanan itu, Guardiola menambah: "Dia (Bernardo) bermain dengan amat baik dalam dua perlawanan terakhir. Hari ini, dia sekali lagi bergandingan baik dengan Jack dan Joao Cancelo.

"Secara keseluruhan, kesemua mereka beraksi baik. Kami mempunyai kualiti untuk meletakkan bola di tempat yang sepatutnya."