Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, memuji bekas majikannya, Barcelona, atas kejayaan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 6-1 awal pagi tadi.

Neymar menjadi inspirasi kepada kebangkitan kelab Catalunya itu dengan meledak dua gol memasuki lima minit terakhir perlawanan sebelum menemuii Sergi Roberto di dalam kotak penalti untuk meledak gol kemenangan pada saat-saat akhir permainan.

Guardiola membawa Barca menjulang Liga Juara-Juara sebanyak dua kali (2008-09 dan 2010-11) dan walaupun dia tidak dapat menonton aksi bekas pasukannya -- kerana mengendalikan City dalam aksi Liga Perdana Inggeris -- namun dia tetap memuji persembahan gergasi LaLiga itu.

"Saya mahu mengucapkan tahniah kepada mereka, ini satu keputusan yang menakjubkan," ujar Guardiola selepas menyaksikan pasukannya gagal merapatkan jurang dengan Chelsea.

"Cukup menakjubkan dan saya mengucapkan tahniah kepada Luis Enrique. Generasi baru Barcelona ini juga telah memberi sumbangan besar. Saya akan menonton perlawanan ulangan apabila saya ada masa."

Di sebalik kejayaan Barcelona, City bergelut di laman sendiri.

Tiga mata bakal meletakkan mereka di kedudukan kedua, namun Stoke City menyekat segala kemungkinan dengan keputusan seri 0-0.

"Mereka bertahan dengan baik dan pemain saya sukar mencari ruang," kata Guardiola.

"Di hujung perlawanan, banyak peluang dihasilkan tetapi gagal disempurnakan. Stoke hanya melakukan satu percubaan tepat."