Gaizka Mendieta membandingkan impak besar pengurus Manchester City, Pep Guardiola, dalam kancah bola sepak sama dengan Johan Cruyff.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan Stats Perform, bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu percaya Guardiola telah mengubah corak permainan di setiap negara yang membabitkannya, bermula dengan bekas kelab Mendieta, Barcelona.

Guardiola menjuarai sembilan trofi liga sepanjang mengendalikan Barca, Bayern Munich dan Manchester City selain sembilan piala domestik, dua Liga Juara-Juara, tiga gelaran Piala Super UEFA dan tiga trofi Piala Dunia Kelab.

Apabila bekas tengah Valencia itu ditanya di mana dia akan meletakkan Guardiola dalam senarai pengurus terbaik sepanjang masa, Mendieta lantas berkata: "Sudah tentu teratas, saya tidak pasti kerana belum memikirkan senarai itu semasak-masaknya, tetapi sudah pasti dia dalam tiga teratas, lima teratas.





"Saya tidak pernah melihat seorang pengurus atau pemain lain yang mampu memberi impak kepada permainan seperti yang dilakukankannya, sebagaimana sejak bersama Barca B lagi.

"Bagaimana dia membaca permainan, menggerakkan atau menukar posisi pemain, memberi impak kepada permainan. Pastinya tidak ramai pengurus sepertinya.

"Saya menganggapnya mirip Johan Cruyff. Beberapa legenda lain lagi yang pernah mengubah permainan ini kerana di mana sahaja dia pergi, baik di Sepanyol, Itali, mahupun Jerman, dia akan memberi kesan besar kepada liga, liga domestik dan juga pasukan kebangsaan.

"Sepanyol bermain secara berbeza kerana dialah yang mengubah idea Barca, Jerman mengubah corak permainan mereka kerana dia mengubah idea Bayern. England mungkin tidak berubah besar, tetapi anda masih boleh melihat England cuba menerapkan permainan seperti City.

"Kita boleh melihat enam, tujuh pemain daripada Barcelona dalam pasukan kebangsaan Sepanyol. Begitu juga di Jerman, lima, enam pemain dari Bayern. Dan sama juga untuk pasukan kebangsaan England. Jadi, saya fikir itulah yang ditawarkan kepada bola sepak, ke mana sahaja dia pergi, dia akan memberi impak kepada permainan ini."