EVERTON 1 MANCHESTER CITY 3

Pep Guardiola menikmati kemenangan 3-1 ke atas Everton dan hanya memerlukan satu lagi kemenangan bagi memastikan Manchester City dinobat sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2017-18.


Jaringan daripada Leroy Sane, Gabriel Jesus dan Raheem Sterling memastikan tiga mata diraih City, yang menyaksikan Everton rebah di laman sendiri.

City yang tewas 4-0 dalam tempoh yang sama musim lalu, kini akan menjulang kejuaraan liga jika menewaskan Manchester United minggu depan, dengan aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan Liverpool menanti mereka pada pertengahan minggu ini.

"Kami menyedari kami perlu memenangi setiap perlawanan, kami telah melakukannya pada separuh masa pertama, ia adalah seperti kami rancangkan," kata Guardiola.

"Kami mengawal perlawanan dan ia adalah kemenangan yang sangat penting. Ia merupakan kali pertama saya sebagai pengurus berjaya menewaskan Everton.

"City akan terus mempamerkan aksi cemerlang bagi memastikan kami mengakhiri musim ini dengan cemerlang," ujarnya.

Penyerang The Toffees, Yannick Bolasie, menjaringkan gol sagu hati buat tuan rumah.