Guardiola mahu Aguero terus baiki corak permainan

Public Anonymous User
September 24, 2016 19:33 MYT
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, percaya Sergio Aguero masih mampu memperbaiki permainannya walaupun penyerang itu memulakan musimnya dengan cemerlang.
Pemain antarabangsa Argentina itu terlepas tiga perlawanan akibat penggantungan selepas menyiku Winston Reid dalam kemenangan City ke atas West Ham bulan lalu tetapi berjaya mengumpul 11 gol daripada semua perlawanan pada pembukaan musim.
Selain memuji bakat Aguero selepas dia menjaringkan dua gol dalam kemenangan City ke atas Swansea dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam, Guardiola melihat ada ruang untuk penambahbaikan dan mensasarkan untuk memainkan peranan dalam hal itu.
"Aguero mempunyai kualiti," katanya. "Langkah pertamanya, langkah kedua di dalam kotak penalti adalah begitu baik dan itulah sebabnya mengapa dia merupakan salah seorang penyerang terbaik di dunia tetapi saya mahu membantunya untuk memperbaiki lagi permainannya."
Guardiola juga mengenal pasti aspek permainan City secara keseluruhannya dan memerhatikan beberapa kesilapan yang dilakukan pada separuh pertama apabila menewaskan The Swans.
"Hari ini kami bermain dengan baik tetapi kami banyak terlepas hantaran untuk penyudahan dan ia berlaku banyak kali pada separuh masa pertama," katanya.
"Anda perlu mengawal bola, menggunakan penguasaan tersebut dan menggunakan serangan balas. Ia adalah kali pertama kami terikat 1-1 pada separuh masa pertama dan kami berbincang mengenai bagaimana kami perlu menjadi seperti satu pasukan dan pada separuh masa kedua, kami bermain dengan baik. "
City akan bertandang ke Celtic dalam Liga Juara-Juara pada Rabu.