Bekas pengendali Barcelona, Pep Guardiola, dan ketua jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui, memahami keputusan Luis Enrique untuk mengundurkan diri daripada jawatan pengurus Barcelona.

Luis Enrique mengumumkan tidak akan menyambung kontraknya -- yang akan berakhir Jun ini -- atas faktor tidak cukup rehat.

Pengumuman tersebut sedikit-sebanyak menyamai tindakan Guardiola, yang meninggalkan kelab itu pada 2012 selepas empat musim.

"Sebagai penyokong Barcelona, saya sedih kerana kami akan kehilangan seorang jurlatih yang hebat.

"Dalam tempoh dua tiga musim ini, Barcelona beraksi dengan cukup baik.

"Tetapi pada masa sama, saya memahami sepenuhnya situasi Luis Enrique.

"Terima kasih untuk tempoh dua tiga tahun ini," kata Guardiola.

Lopetegui pula mengakui tidak terkejut dengan pengumuman tersebut.

"Saya memahami keputusannya, ia perkara normal. Untuk menjadi seorang pengendali Barcelona bukan mudah," katanya.

"Kami sentiasa berhubung tetapi tidak pernah membincangkan perkara ini."

Sejak menggantikan Gerardo Martino, Luis Enrique telah membawa Barcelona meraih lapan kejuaraan.

"Dia boleh berbangga dengan kejayaan yang diraih bersama Barca," tambah Lopetegui.

"Dia telah membukitkan dirinya sebagai jurulatih bertaraf dunia."