Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berasakan perancang pasukannya, Benardo Silva, adalah salah satu daripada tiga pemain terbaik Liga Perdana Inggeris dan bintang terbaik Portugal.

Bekas bintang Monaco itu menyertai City pada 2017 dan telah meningkatkan mutu permainannya di tahap tertinggi musim ini dengan melengkapkan peranan di bahagian tengah dan serangan pasukan itu.

Cristiano Ronaldo tidak mewakili Portugal sejak Piala Dunia tahun lalu, namun mengekalkan kecemerlangannya dengan Juventus musim ini.

Bagi Guardiola, Silva merupakan taruhan terbaik Portugal waktu ini.

Bercakap dalam sidang media menjelang perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah menentang Schalke, awal pagi esok, Guardiola ditanya sama ada pemain berusia 24 tahun itu mampu menjadi bintang besar dalam bola sepak Portugis.

"Dia kini adalah bintang terbesar," jawabnya.

"Dia seorang yang baik, saya gemar bekerjasama dengannya.

"Dia tidak pernah memberikan reaksi wajah yang kurang baik apabila tidak diturunkan.

"Dia sentiasa memberikan senyuman dan menjadi pemain yang paling disayangi dalam bilik persalinan kami.

"Dia merupakan pemain paling berbakat yang saya pernah temui sepanjang begelar pengurus dan pemain bola sepak.

"Dia mampu beraksi di tiga atau empat posisi.

"Dia sentiasa memaparkan aksi dalam lingkungan lapan ke sembilan (daripada 10) dan kini jika dia tidak beraksi baik, ia tidak mengapa memandangkan dia seorang pemain yang rajin.

"Anda tidak boleh beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan berselang tiga hari.

"Namun, dia berlari dan terus berlari.

"Dia mungkin antara tiga pemain terbaik Liga Perdana musim ini.

"Lihatlah bagaimana dia meraikan gol dengan rakan sepasukannya yang lain, dia sedang menikmatinya.

"Portugal bertuah kerana memilikinya.

"Pengurus mereka (Fernando Santos) akan sentiasa menggunakan pemain itu.

"Dia seorang pemuda yang baik dan saya amat menyayanginya, itu sahaja," katanya.

Kehadiran bintang seperti Silva dalam skuad Guardiola itu menjadi penyebab mengapa bakat muda kelahiran akademi pasukan berkenaan bertindak meninggalkan pasukan itu.

Juara bertahan Liga Perdana itu akan berdepan dengan Rabbi Montanddo, awal pagi esok, tidak sampai sebulan selepas pemain berusia 18 tahun itu menyertai Schalke daripada Akademi Manchester City.

Dia mengikut jejak Jadon Sancho ke Bundesliga sementara Brahim Diaz pula menyertai Real Madrid.

Guardiola menegaskan dia sebelum ini mahukan ketiga-tiga pemain itu kekal dalam pasukannya bersama-sama bintang skuad B-21 England, Phil Foden, yang menjaringkan dua gol ketika mereka menewaskan Newport County 4-1 dalam pusingan kelima Piala FA, Sabtu lalu.

"Saya pernah memperkatakan perkara yang sama kepada Jadon, Brahim, Phil dan Rabbi, beraksi dengan Manchester City sama seperti beraksi dengan Barcelona, ia tidak mudah.

"Pemain muda perlu bersaing dengan Raheem Sterling, Leroy Sane, Bernardo dan Riyad Mahrez. Ia tidak mudah.

"Anda perlu bersaing merebut tempat, begitu juga pemain lain.

"Kami mempercayai mereka. Mereka meninggalkan pasukan ini kerana tidak mendapat peluang.

"Saya tidak akan katakannya sebagai keputusan yang salah. Rabbi akan memperoleh lebih peluang beraksi.

"Mungkin dia memerlukannya. Hanya masa depan dapat menentukan sama ada ia keputusan yang baik atau sebaliknya, namun dia sudah membuat keputusan.

"Saya menyaksikan aksinya ketika menentang Freiburg. Dia amat pantas dan setiap minit yang diperoleh pasti akan memberikan pengajaran berguna.

"Bukan semua pemain dapat beraksi untuk Manchester City.

"Peluang itu adalah peluang," tambahnya.

Guardiola mengesahkan John Stones dan Gabriel Jesus tidak menyertai kunjungan mereka ke Jerman kerana kecederaan.

"Doktor menjelaskan kecederaan itu tidak terlalu teruk buat mereka, namun mereka tidak akan menyertai kami di sini," jelasnya.