CLUB BRUGGE 1 MAN CITY 5

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menyifatkan kemenangan 5-1 ke atas Club Brugge sebagai salah satu persembahan terbaik yang pernah mereka hasilkan di Eropah.


Riyad Mahrez merekodkan dua gol sementara Joao Cancelo, Kyle Walker dan Cole Palmer turut memahat nama selaku penjaring selain gol sagu hati Hans Vanaken dalam pertembungan di Belgium itu, awal pagi tadi.

Ia satu persembahan yang memukau daripada finalis Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu itu, malah Guardiola percaya mereka masih mampu menang dengan jumlah yang lebih besar.

"Ia adalah salah satu persembahan terbaik yang pernah kami berikan di Eropah," katanya selepas perlawanan.

"Saya mengkaji Brugge ketika rehat antarabangsa. Saya menonton banyak perlawanan. Saya tahu betapa bagusnya mereka ketika menentang PSG.

"Kami mencipta umpanan menerusi Phil Foden. Kami mempunyai pemain yang gemar menyusup. Kami patut menjaringkan lebih banyak gol lagi, kami mempunyai deretan peluang. Kami semua gembira dengan prestasi yang telah ditampilkan."






Palmer mencetak gol pertamanya dalam UCL untuk menjadi pemain ketiga yang meraih pencapaian serupa dengan Foden dan Kelechi Iheanacho, tetapi Guardiola mahu bersabar dengan pemain berbakat berusia 19 tahun itu.

"Cole mempunyai kualiti khusus di depan kotak penalti, bakat yang sukar didapati," tambahnya lagi.

"Ketika dia mengawal bola, kebanyakannya berakhir ke dalam gawang. Sukar untuk mendapatkan bakat sepertinya.

"Saya tahu bagaimana ia berfungsi apabila melibatkan pemain muda. Kami harus tenang dan sabar. Kedudukannya adalah bersama pasukan kedua tetapi pada masa yang sama, dia perlu berlatih dengan kami dan bekerja dengan prinsip kami.

"Saya gembira dengan gol itu. Dia mampu melakukan beberapa tindakan yang lebih baik lagi tapi itu lumrah. Ini adalah satu bentuk pengalaman buatnya."