Pengetahuan Pep Guardiola yang tidak tertandingi dalam bola sepak Sepanyol adalah kunci buat Manchester City untuk mengatasi ancaman Real Madrid dalam aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), menurut Bernardo Silva.

City meletakakn sasaran untuk mengejar kejuaraan UCL buat pertama kali, mereka perlu mengatasi Real terlebih dahulu, juara 13 kali, di mana mereka mendahului 2-1 dalam aksi pertama Februari lalu.

Guardiola membimbing musuh tradisi Real, Barcelona di antara 2008-2012 dan Silva yakin pengalaman bekas pemain tengah Sepanyol itu akan membantu City mengatasi skuad kendalian Zinedine Zidane' itu 7 Ogos ini.

"Tiada siapa selainnya yang mampu membantu kami untuk berdepan pasukan dari Sepanyol. Terutama sekali berdepan lawan yang sangat dikenalinya," kata Silva. "Memiliki Guardiola sebagai jurulatih dan berdepan lawan seperti Real adalah perkara yang bagus. Dia sentiasa menjadi jurulatih yang mengetahui jalan untuk mengatasi Real."

Real berkunjung ke Stadium Etihad selepas merangkul LaLiga pertama sejak 2017 dan Silva mengetahui City perlu berada di tahap terbaik untuk mara ke suku akhir.

"Sejak saingan bersambung, Real hampir menang dalam setiap perlawanan, sekaligus muncul juara. Ini akan meningkatkan lagi momentum mereka untuk berdepan aksi berdepan City.

"Kami perlu berada di tahap terbaik jika tidak, kami tidak akan ke peringkat seterusnya. Kami menyedari berdepan lawan yang berkualiti jadi kami perlu memberikan yang terbaik untuk menang."

City terlepas slot ke separuh akhir musim lalu selepas Tottenham mengatasi atas perbezaan jaringan di tempat lawan.