MAN CITY 5 BURNLEY 0

Pep Guardiola memuji persembahan memukau Kevin De Bruyne ketika Manchester City membenam Burnley 5-0 dalam kemenangan pusingan keempat Piala FA.


Perancang dari Belgium itu kembali diturunkan selepas dihantui masalah lutut dengan mempamerkan aksi bertenaga di Stadium Etihad, awal pagi tadi.

Dia menjadi pencetus kepada jaringan Bernardo Silva, menyumbat gol dari luar kotak penalti dan membuat sepakan lintang yang memerangkap Kevin Long yang tertampan bola ke gawang sendiri.

Ia mendorong Guardiola untuk memuji kelibat pemain berusia 27 tahun itu.

"Kami tahu mengenai kualitinya," kata pengurus City itu. "Tidak mudah bagi seorang pemain apabila mereka berehat lama dan cuba mendapatkan rentak permainan sebenarnya.

"Itulah sebabnya kami cuba mengawal tempoh permainan pemain sebaik mungkin dan kami berjaya melakukannya.

"Sudah tentu kami tahu kemampuan Kevin dan kami memerlukannya kerana dia bijak dan agresif dalam permainannya."

Mengulas mengenai perlawanan itu yang menyaksikan City menyamai keputusan yang dicipta mereka ketika menundukkan lawan yang sama dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Oktober lalu, Guardiola berkata: "Saya sangat gembira dengan komitmen itu, terutama sekali dapat mengulangi prestasi yang sama.

"Kami perlu memperbaiki beberapa aspek tetapi kami telah menunjukkan kemajuan dengan baik. Saya berpuas hati untuk berada dalam pusingan seterusnya dan menantikan undiannya Isnin depan."

Sementara itu, aksi pasukan pelawat sama sekali tenggelam dan mereka hanya memiliki satu peluang terhidang pada awal babak kedua selepas Matej Vydra mengatasi kedudukan Nicolas Otamendi, namun pemain itu melepaskan rembatan liar tatkala hanya perlu mengatasi Ederson.

Pengurus Claret, Sean Dyche, berkata: "Jika dia menyumbat gol itu, saya tidak mengatakan bahawa kami akan memenangi perlawanan, namun anda tidak akan mendapat banyak peluang berharga dan ia boleh mengubah perasaan di stadium dan tenaga pasukan.

"Adalah sangat sukar untuk berdepan sebuah pasukan seperti yang City lakukan. Siapakah yang mampu menyekat mereka daripada memenangi segala-galanya sekiranya mereka dalam kemuncak prestasi?

"Mereka adalah pasukan gergasi dan jika anda berdepan mereka dalam kemuncak prestasi seperti hari ini, maka mereka akan menghukum setiap kesilapan yang anda lakukan."