MIDDLESBROUGH 0 MANCHESTER CITY 2

Pep Guardiola meneruskan rekod sekurang-kurangnya satu perlawanan separuh akhir pada setiap musim selepas Manchester City menewaskan Middlesbrough 2-0 dalam saingan Piala FA di Stadium Riverside, malam tadi.


Jurulatih kelahiran Sepanyol itu mengambil alih Barcelona pada 2008 dan membantu mengukuhkan skuad itu sebagai antara pasukan terbaik Eropah dalam empat tahun khidmatnya di sana, mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah setiap musim dan hanya gagal melayakkan diri ke separuh akhir dalam satu kejohanan Copa del Rey.

Guardiola memberi impak yang sama dalam pertandingan piala di Bayern Munich, apabila membantu skuad itu mara ke separuh akhir DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara Eropah tiga tahun berturut-turut, sebelum berhijrah ke Manchester City pada awal musim ini.

Dan dia berada di atas landasan yang betul untuk meneruskan rekod hebat di England, dengan City mengetepikan Middlesbrough dengan mudah di Stadium Riverside malam tadi selepas menang 2-0 hasil jaringan David Silva dan Sergio Aguero untuk menempah tempat di Wembley.

Melayakkan diri ke separuh akhir dalam pertandingan elit Eropah masih menjadi sasaran yang realistik, dengan City menang 5-3 daripada perlawanan pertama pusingan kalah mati menentang Monaco.