Arjen Robben berkata bekas pengurus Bayern Munich, Pep Guardiola, merupakan pakar bola sepak menyerang dan pengendali dari Catalan itu adalah jurulatih terbaik dunia.

Bekas pemain Belanda, Robben, yang mengumumkan persaraan daripada arena bola sepak pada Julai tahun lalu telah beraksi selama tiga musim di bawah kendalian Guardiola dalam tempoh sedekad bersama Bayern.

Bekas pemain berusia 36 tahun itu dibawa ke Bavaria oleh Louis van Gaal dan turut bekerjasama dengan Carlo Ancelotti, Jupp Heynckes dan Niko Kovac di Allianz Arena sambil turut menerima sentuhan Jose Mourinho di Chelsea.

Namun, Robben berpendapat Guardiola merupakan jurulatih yang telah membantunya untuk meningkat dengan ketara memandangkan kedua-dua individu itu berkongsi ideologi tentang corak permainan.

"Saya cintakan bola sepak serta permainan menyerang dan Guardiola adalah pakar mengenainya," katanya.

"Dia fokus terhadap serangan dan kawalan bola yang tinggi. Sudah tentu saya sukakannya. Kami berkongsi kekuatan sama.

"Dia memastikan saya menjadi lebih sempurna. Bagi saya, Guardiola adalah jurulatih terbaik dunia. Tiga tahun bersamanya di Bayern sangat berbaloi."

Robben menyertai Bayern daripada Real Madrid pada 2009 dan memeanngi 20 kejuaraan utama termasuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah pada 2013, di mana dia meledakkan jaringan kemenangan dalam aksi final menentang Borussia Dortmund untuk mengesahkan kejayaan ketiga musim tersebut.

Namun, sewaktu meninggalkan Madrid untuk ke Bayern, dia tidak pasti jika ia satu pilihan terbaik untuknya.

"Pada waktu itu, saya hanya mahu menjulang trofi Liga Juara-Juara dan Bayern bukan merupakan salah sebuah kelab elit Eropah," tambahnya.

"Namun, saya mengambil risiko dan ia berbaloi.

"Ia bukanlah satu keputusan yang mudah tetapi penghijrahan ke Bayern merupakan salah satu tindakan terbaik dalam karier."