Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berkata dia 'jatuh cinta', dengan pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Marco Verratti, manakala turut memuji Lionel Messi selepas tewas 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Messi menjaringkan gol pertama buat PSG selepas jaringan pembukaan Idrissa Gueye ketika merakamkan kemenangan 2-0 ke atas City di Parc des Princes.

Ketika Messi mencuri tumpuan dengan jaringan pada minit ke-74, Guardiola memuji persembahan Verratti -- yang membantu Itali menang Euro 2020 sebelum musim bermula.

"Saya seperti jatuh cinta," kata Guardiola. "Dia seorang pemain yang luar biasa kerana dalam tekanan, dia kekal tenang mencari rakan sepasukan dengan hantaran melintasi jentera tengah kami.

"Saya mengetahui watak dan personaliti yang dia miliki dan dia sekali lagi melakukannya. Saya gembira dia kembali beraksi dan pulih daripada kecederaan. Seorang pemain yang luar biasa.

"Dia bukanlah pemain yang memiliki kelebihan daripada sudut fizikal, tetapi apabila anda melihat dia bergerak, seorang yang boleh anda bergantung dan membantu pasukan dalam mencari ruang untuk menghasilkan satu situasi.

"Terutama sekali dalam separuh masa pertama, kami memperbaikinya dalam separuh masa kedua selepas dia dikawal oleh Kevin [De Bruyne], tetapi dalam separuh masa pertama, kami memberikan dia ruang."