Pep Guardiola menjangkakan kapten pasukannya, Fernandinho, akan direhatkan di antara empat ke enam bulan selepas pemain tengah itu mengalami satu lagi kecederaan ketika Manchester City menewaskan Porto 3-1 dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Brazil itu dimasukkan pada minit ke-85 perlawanan Kumpulan C di Stadium Etihad itu tetapi tidak dapat menamatkan permainan kerana kecederaan kaki.

Fernandinho bergelut dengan masalah otot sepanjang beberapa musim ini yang menyaksikannya diketepikan dalam 15 perlawanan dua musim lalu, di mana City menyapu bersih kesemua gelaran domestik.

Dan Guardiola, yang turut tidak dapat menurunkan Gabriel Jesus, Nathan Ake, Benjamin Mendy, Kevin De Bruyne dan Aymeric Laporte ketika menentang Porto, berasakan pemain tengah serba boleh itu akan sekali lagi berehat panjang.

"Ia berita buruk, dia mengalami kecederaan di tempat yang sama sebelum ini," kata Guardiola kepada BT Sport.

"Dia akan diketepikan untuk tempoh yang panjang. itulah yang berlaku."

Fernandinho telah melakukan 288 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak menyertai City pada 2013 dan kerap mengisi kekosongan posisi pertahanan tengah sejak akhir-akhir ini.

Mengulas lanjut dalam sidang media selepas perlawanan, Guardiola menambah: "Ia mungkin memakan masa empat hingga enam minggu. Ia tamparan yang besar memandangkan kami perlu melalui banyak perlawanan dan tiada pemain."

Bagaimanapun, Guardiola memberi berita positif mengenai tahap kecergasan De Bruyne dan Laporte dengan kedua-dua pemain itu berpeluang untuk diturunkan dalam perlawanan liga menentang West Ham, Sabtu ini.

"Saya fikir Kevin dan Laporte akan memulakan latihan esok tetapi saya tidak tahu bagaimana keadaan mereka esok dan sehari selepasnya, jadi kita akan lihat.

"Malangnya, selepas ada pemain kembali, kami kehilangan seorang lagi tetapi ia kepulangan yang amat penting.

"Dalam tiga hari ini, kami akan ke London dan selepas itu, kami akan ke Perancis untuk bertemu Marseille sebelum bertemu Sheffield (United) tiga hari kemudian.

"Jadualnya amat padat dan kami memerlukan kesemua pemain," katanya lagi.