Pep Guardiola mengingatkan pemain bintang di Manchester City tentang tanggungjawab mereka selepas gambar kontroversi Jack Grealish dan Phil Foden di kelab malam tersebar.

Awal minggu ini, gambar yang diterbitkan Telegraph menunjukkan duo England itu yang tidak memakai pelitup muka berada di kelab malam dan berswafoto dengan peminat berikutan kemenangan 7-0 City ke atas Leeds United.

Mereka sepatutnya berehat pada hari berikutnya dan tindakan itu mengundang kemarahan kelab berkenaan hingga menyebabkan mereka sekadar memanaskan bangku simpanan dalam kemenangan 4-0 ke atas Newcastle United, hujung minggu lalu.

Guardiola berkata selepas perlawanan, rombakan itu dibuat kerana isu tingkah laku di luar padang walaupun tidak merujuk secara khusus kepada Grealish dan Foden.

Kelab itu telah mengeluarkan garis panduan untuk dipatuhi pemain dan kakitangan mereka berikutan peningkatan kes COVID-19 di England baru-baru ini, tetapi tidak jelas sama ada pemain tengah itu melanggar sebarang peraturan.





Bercakap kepada media menjelang pertembungan pasukannya dengan Leicester City sempena 'Boxing Day', Guardiola berkata: "Mereka bukan peraturan, saya bukan polis. Mereka sudah cukup dewasa untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan.

"Kita tidak bersendirian di dunia ini, kita hidup dengan manusia. Kita terdedah jadi perlu berhati-hati. Hanya perlu mengambil langkah berjaga-jaga, itu sahaja.

"Dalam kerjaya ini, tindakan di dalam mahupun di luar padang adalah sangat penting. Begitu juga pengurus, kami perlu sentiasa menghormati bidang ini.

"Ia membolehkan mereka untuk bertahan lebih lama dalam bidang ini. Ini mesej yang saya sampaikan kepada mereka sejak enam tahun lalu dan sudah berkali-kali mengingatkan mengenainya.

"Mereka perlu sedia menyahut cabaran ini, ramai pemain yang hidup seperti ini, sebab itu kami tekal."