Pep Guardiola menganggap tugas untuk menyekat bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, sudah cukup untuk membuatnya terjaga pada waktu malam.

Manchester City menempah pertemuan separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan PSG apabila pertemuan pertama berlangsung di ibu kota Perancis, awal pagi esok, sambil kedua-dua pasukan belum pernah mengecapi kejayaan di peringkat Eropah.

Guardiola telah meninggalkan Barcelona ketika Neymar tiba di Camp Nou pada 2013, penyerang itu kemudian membentuk tiga penyerang serangkai digeruni di samping Lionel Messi dan Luis Suarez.

Dengan kualiti seumpama itu, pengurus City tersebut berasakan peluang mereka untuk menjulang trofi UCL akan lebih cerah sekiranya bintang Brazil berkenaan tidak berpindah ke PSG pada 2017.

Guardiola berasakan tidak banyak yang boleh dilakukan bagi merantai pemain bertaraf dunia seperti Neymar dan Kylian Mbappe, lantas dia menggesa anak buahnya agar menjelmakan permainan terbaik dan bukannya untuk menyekat duo PSG itu semata-mata.

"Adalah sukar untuk dipercayai kualiti pemain yang mereka ada," kata Guardiola.

"Strategi pertahanan (dengan harapan dapat menyekat mereka) tidak akan berfungsi. Mereka terlalu bagus.

"Saya cuba tidur lena semalam dan saya hanya boleh melelapkan mata apabila mula tidak memikirkan pemain mereka!

"Mereka merupakan pemain luar biasa berdasarkan kualiti yang mereka miliki dan cara mereka bermain. Kami akan mencuba dan menyekat mereka dengan bertahan bersama-sama sebagai sebuah pasukan selain beraksi dengan baik secara berpasukan.

"Kami perlu bersedia menghadapi serangan balas, mereka memiliki banyak senjata.

"Kami perlu menyesuaikan diri seperti ketika bertemu Tottenham, menghadapi Wilfried Zaha (tonggak Crystal Palace) dalam perlawanan berikutnya.

"Tetapi pada saat yang sama, adalah tidak masuk akal untuk tidak menjadi diri sendiri selepas kejayaan kedua mara sejauh ini.




"Saya yakin kami akan berusaha menjadi diri sendiri dan mendapatkan hasil yang diimpikan sebagai bekalan aksi timbal balik. Keseimbangan terbaik adalah menguasai bola. Sekiranya anda mempunyai bola sepanjang masa, akan wujud keseimbangan."

"Kami akan berdepan serangan balas, mustahil tidak. Sekiranya anda bertahan begitu dalam, Neymar, Mbappe, Angel Di Maria, Marco Verratti dan Marquinhos pula memiliki banyak helah.

"Mereka sudah terbiasa menghadapi pasukan yang gemar bertahan sepanjang 90 minit dan mereka sentiasa dapat mencari jalannya.

"Bertahan menentang pasukan yang memiliki segalanya bukan satu pendekatan yang bagus, lebih baik cuba menerapkan corak permainan sendiri yang telah dipratikkan selama lima tahun.ini."