Pep Guardiola menyarankan Raheem Sterling supaya mengembalikan keyakinannya jika dia menyaingi Phil Foden dan Riyad Mahrez dalam perebutan kesebelasan utama Manchester City.

Sterling merupakan nadi sepanjang era Guardiola di Stadium Etihad tetapi hanya memulakan dua daripada lapan perlawanan terakhir.

Dia menjadi tonggak utama untuk ketiga-tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 bersama England ketika rehat antarabangsa baru-baru ini termasuk menyumbat gol dalam kemenangan 5-0 ke atas San Marino.

Sterling menjadi sandaran utama pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu yang tewas mengejut kepada Leeds United, namun kembali ke bangku simpanan untuk pertemuan kedua suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Borussia Dortmund, kelmarin, yang menyaksikan Mahrez dan Foden mencetak jaringan bagi mengesahkan kemaraan mereka ke separuh akhir.

"Dia mungkin pemain kedua atau ketiga yang mempunyai minit terbanyak musim ini," kata pengurus City itu dalam sidang media.



"Kepercayaan saya terhadap Raheem masih utuh. Dia hanya kurang beraksi berikutan Phil dan Riyad sedang di kemuncak prestasi, menjaringkan gol dan amat berkesan di kubu lawan.

"Dia harus mengembalikan keyakinannya. Dia memilikinya menerusi kami semua, dia sepatutnya memilikinya kerana kualitinya yang tekal. Saya tidak dapat menawarkan keyakinan kepada pemain, dia perlu mendapatkannya sendiri.

"Memiliki keyakinan daripada saya disebabkan terpilih adalah sesuatu yang bertentangan. Apa yang telah kami lakukan dalam tahun-tahun yang luar biasa ini, dengan jumlah perlawanan dan catatan yang berterusan, Raheem merupakan kuncinya.

"Dia adalah pemain utama dan masih lagi watak utama. Tetapi pada ketika ini Phil beraksi dengan sangat baik, begitu juga Riyad. Inilah alasan tunggalnya. Mereka mengetahuinya. Mereka menyedarinya dan semua pemain kerap beraksi musim ini.

"Setiap hari, orang ingin mengawal masa lampau dan masa depan. Saya tidak peduli. Saya hanya kisah kepada sesi latihan, keadaan, kelakuan, bahasa badan, suasana untuk perlawanan separuh akhir ini, itulah yang sepatutnya diperkatakan.

"Kami mempunyai pemain yang sangat bagus. Hubungan di bilik persalinan pada saat-saat buruk musim ini sangat baik dan hebat pada detik yang baik."

Sementara itu, Guardiola mengesahkan Zack Steffen akan diturunkan untuk menghadapi Chelsea sebagai benteng terakhir berbanding pilihan utama. Ederson.

Pemain antarabangsa Amerika Syarikat itu telah memulakan keempat-empat aksi Piala FA musim ini dan Guardiola mengakui adalah tidak adil untuk meminggirkan pemain berusia 26 tahun itu biarpun bakal bertembung dengan pasukan kepimpinan Thomas Tuchel, tengah malam esok.

"Dia beraksi dengan sangat baik dalam Piala FA," jelasnya lagi.

"Dia merupakan penjaga gawang antarabangsa dan ketika dia beraksi, dia mempamerkan prestasi di tahap yang baik. Dia berlatih dengan baik, dia berhak mendapat peluangnya. Saya lebih senang memberikannya peluang ini."