CHELSEA 0 MAN CITY 1

Pep Guardiola bangga mencipta rekod kemenangan terbanyak sebagai pengurus Manchester City menerusi kejayaan tipis 1-0 ke atas pencabar utama Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, malam tadi.


Pengurus dari Catalan itu mencatat kemenangan ke-221 sejak tiba di City pada 2013 untuk mengatasi rekod Les McDowall.

Kemenangan City itu dijana dengan baik di Stamford Bridge apabila sentuhan pemusnah Gabriel Jesus memastikan keunggulan juara bertahan berkenaan.

Guardiola sudah menempa tiga kekalahan kepada Chelsea, masing-masing di tangan Thomas Tuchel termasuk final Liga Juara-Juara di Porto, Mei lalu.

Pasukan kendalian Guardiola itu menguasai 60 peratus permainan dan membayangi lawan mereka dengan 15 percubaan berbanding lima.

Lantas, bekas pengurus Barcelona tersebut mahu menekankan kemenangan mengagumkan malam tadi itu.

"Pemain saya beraksi hebat hari ini," katanya kepada BT Sport.

"Di stadium ini, berdepan lawan seperti ini, menghasilkan apa dihajati membuatkan saya sangat bangga.

"Kami datang ke mari dan dapat memperagakan corak permainan kami. Kadang-kadang anda tidak dapat melakukannya kerana lawan bertindak lebih baik. Kami terdorong untuk memberi tekanan tinggi dan mereka gagal mengatasinya.

"Melakar rekod kemenangan membuatkan saya bangga. (Apatah lagi) kami melakukannya di Stamford Bridge, menentang jaguh Liga Juara-Juara.

"Kami sangat hebat sebagai sepasukan. Ia membanggakan saya, bukan hanya untuk diri sendiri, lebih-lebih lagi buat kelab."






Ledakan Jesus menjulang City di barat London apabila rembatannya terkena Jorginho hingga mengelirukan penjaga gol The Blues, Edouard Mendy, yang sebelum itu cemerlang menafikan beberapa peluang berbahaya lawan.

Penyerang Brazil itu sudah mengumpul tiga gol dan empat bantuan jaringan dalam tujuh perlawanan terakhir EPL dan pasukannya tidak pernah tewas dalam 44 perlawanan ketika dia mencetak nama sebagai penjaring.

"Gabriel sering mencurahkan segala kudratnya," kata Guardiola lagi.

"Anda tidak boleh mengatakan apa-apa lagi tentang dia. Setiap tindakannya adalah demi rakan sepasukan.

"Memiliki pemain sepertinya dalam pasukan membuatkan saya sangat gembira."