Pep Guardiola melabel Ruben Dias sukar ditandingi apabila pertahanan tengah Manchester City itu mula dibandingkan dengan tonggak Liverpool, Virgil van Dijk.

Dias menyertai City daripada Benfica pada September lalu dengan bayaran termahal kelab sebanyak £62 juta (RM342.9j).

Dia tiba selepas The Citizens ditewaskan 2-5 kepada Leicester City di kandang sendiri, namun pasukan Guardiola itu kini kelihatan jauh berbeza menjelang kunjungan ke Burnley, awal pagi esok, dengan menguasai tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selain berpeluang meraih kemenangan ke-12 berturut-turut.

Pertahanan tengah Portugal itu menjadi nadi buat kebangkitan juara dua tahun lalu berkenaan dan Guardiola sempat ditanya apakah impak anak buahnya tersebut di Stadium Etihad serupa dengan kehadiran Van Dijk di Anfield pada Januari 2018.

Walaupun pengurus City itu menolak untuk membuat perbandingan tersebut, tetapi dia tanpa ragu-ragu menganggap Dias sebagai salah seorang pemain utamanya sejak dia mengemudi pasukan berkenaan selama empat tahun setengah.

"Ya benar," kata Guardiola.



"Dia cepat menyesuaikan diri. Daripada segi mental, dia merupakan pemain yang fokus 24 jam terhadap kariernya.

"Setiap langkah yang dilakukannya, baik di rumah, di dalam mahupun di luar padang termasuk makan, tidur, waktu pemulihan, persiapan -- segalanya mesti sempurna sepanjang 95 minit perlawanan seterusnya.

"Itulah sebabnya (dia mencetuskan impak). Ia bergantung kepadanya untuk mengekalkan mutu persembahannya dan mudah-mudahan kami dapat membantunya terus berkembang. Kami berasa lebih daripada puas."

Sementara itu, Sergio Aguero belum sedia dipertaruhkan di jentera serangan walaupun sudah mula turun berlatih sejak dijangkiti COVID-19, 21 Januari lalu.

"Dia masih belum berlatih di atas padang Dia hanya memulakan larian semalam," katanya lagi.