Sebelum sepak mula, ia digembar-gemburkan kononnya Pep Guardiola sudah hilang sentuhan. Namun, pada penghujungnya, dialah yang mampu tersenyum sinis.

Segala petunjuk sebelum itu terarah kepada kepada Chelsea selaku pilihan hangat, dengan pengurusnya, Thomas Tuchel, tidak henti-henti dilambung pujian. Berkedudukan di tangga teratas, The Blues sudah awal-awal diramalkan juara.

Tuchel sudah pun mengatasi pesaingnya itu dalam final Liga Juara-Juara di Porto, Mei lalu – kali ketiga berturut-turut City diatasi mereka untuk perbandingan mengangkat Tuchel selaku pakar taktikal yang lebih cemerlang.

Cuma, bersaksikan Stamford Bridge semalam seperti disimpulkan akhbar Daily Mail, Guardiola meraih pesonanya semula. City terserlah sebagai cemerlang dalam menggagalkan Chelsea. Mereka lebih berkesungguhan, lebih laparkan kejayaan dan bermain lebih cantik.

Maka, tidak keterlaluan kemenangan 1-0 itu kembali menabalkan The Citizens sebagai pilihan untuk mengekalkan gelaran di samping ia mengesahkan Guardiola selaku pengurus paling berjaya dalam sejarah City, dengan kemenangan kali ke-221 bersama kelab The Sky Blues itu.

Menubuhkan tembok yang didirikan N’Golo Kante, Jorginho dan Mateo Kovacic di barisan tengah Chelsea yang bertujuan merencatkan pasukan kreatif seperti City, perancangan Tuchel gagal kali ini – hanya kerana percaturan Guardiola terlalu bagus.

Gara-garanya, Romelu Lukaku tidak banyak terbabit dalam permainan kerana dinafikan hantaran. Lantaran itu juga, Chelsea bankrap idea dan muflis gerakan-gerakan mengancam sambil kesabaran Tuchel terhadap Timo Werner harus terus terhakis.
Pertunjukan yang tidak kurang menariknya tersaji di petak-petak teknikal di garisan tepi padang, dengan kedua-dua pengurus menyerlahkan kekecewaan dan kegeraman masing-masing – Guardiola ketika menyaksikan satu percubaan Gabriel Jesus tinggi melangit.

Tuchel pula laksana seorang yang dirasuk. Kerap dia dilihat berpaling kepada barisan pembantunya dan memberi pelbagai isyarat, seolah-olah tidak dapat mempercayai aksi anak-anak buahnya di tengah padang.

Sejurus kemudian, tibalah detik pemisah dalam perlawanan ini.

Jack Grealish, yang pengaruhnya dikurangkan oleh keampuhan bertahan Cesar Azpilicueta, melencongkan satu percubaan yang hanya sedikit sipi selepas rehat. Ia petanda City sudah mengembalikan dominasi separuh masa pertamanya.


Tepat tujuh minit selepas permainan bersambung semula, satu sepakan sudut pendek menyaksikan Rodri melepaskan rembatan ke arah pintu gol dari jarak 25 meter.

Ia tersekat oleh himpunan pemain dalam kawasan penalti yang memperlihatkan Jesus dapat mengawalnya dan berpusing cantik.

Sepakan rendahnya terbias daripada hujung sepatu Jorginho, cukup untuk mengelirukan penjaga gol Edouard Mendy yang terpaku memerhatikan bola menerjah jaring. City 1-0.








Malah, pelawat hampir melebarkan kedudukan lima minit kemudian. Grealish menemui sedikit ruang untuk mengatasi Azpilicueta, hanya untuk menyaksikan penyudahannya yang seakan-akan sudah tertulis “gol” ditepis oleh hujung jari Mendy untuk Chelsea lega.

Tuchel membawa masuk Kai Havertz di tempat Kante dan permainan menjadi semakin terbuka. Grealish memanfaatkannya apabila lintangannya sekadar mampu ditepis Mendy ke hadapan Jesus dengan sekali lagi “gol” sudah pun tertulis.

Mujur sepakannya ditampan di atas garisan gol oleh Thiago Silva untuk tuan rumah sekali lagi bernafas lega – sekalipun hanya untuk sementara.

Seterusnya, Lukaku mendapati jaringannya dibatalkan kerana ofsaid hasil satu serangan balas yang semakin jarang-jarang berlaku sebagai menunjukkan pasukan mana yang sedang berada di atas.

Buktinya, City hampir memuktamadkan kemenangan selesa 12 minit sebelum wisel penamat apabila Kevin De Bruyne melencongkan sepakan percumaa yang disudahkan sipi oleh Aymeric Laporte.









Begitu juga satu hantaran lolos buat Grealish yang pemain bernilai £100 juta itu mendapati penyudahannya digagalkan oleh halangan badan Mendy sekali lagi.

Namun, tiada apa yang dapat menidakkan Guardiola daripada meraikan satu kemenangan bermakna di tempat lawan bagi menutup mulut pengkritiknya atau mereka yang mahukan Tuchel mengulangi kemanisan mengatasi pesaingnya itu.

Suka ataupun tidak, Guardiola bukanlah seorang yang mudah mengalah ketika tekanan dikatakan semakin memuncak ke atasnya.